UMNO perlu pendekatan luar biasa untuk menang PRU, Wan Rosdy perkenal strategi PAHANG

KUALA LUMPUR – UMNO memerlukan pendekatan luar biasa, tersusun dan boleh dilaksanakan bagi memastikan parti itu kembali memenangi hati rakyat dalam pilihan raya akan datang, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata, kemenangan tidak boleh dicapai hanya dengan retorik, sebaliknya mesti diterjemahkan melalui strategi yang jelas serta kerja politik yang konsisten di lapangan dan alam digital.

Wan Rosdy memperkenalkan pendekatan “PAHANG: Strategi Menang PRU” yang merangkumi enam elemen utama iaitu Presence, Authentic, Heart, Action, Network dan Growth.

Menurut beliau, elemen pertama iaitu Presence menuntut pemimpin UMNO hadir secara konsisten dalam kehidupan rakyat, bukan hanya muncul ketika pilihan raya semakin hampir.

“Rakyat nampak, rakyat percaya. Politik bukan muncul lima tahun sekali.

“Pemimpin mesti ada dalam susah, dalam senang, dalam momen kecil kehidupan rakyat,” katanya ketika berucap pada Konvensyen 80 Tahun UMNO di Dewan Merdeka, WTC Kuala Lumpur hari ini.

Bagi elemen Authentic pula, Wan Rosdy berkata pemimpin UMNO perlu tampil ikhlas, jujur dan tidak kelihatan dibuat-buat kerana rakyat hari ini mampu menilai antara keikhlasan dan lakonan politik.

Katanya, politik hari ini juga memerlukan sentuhan emosi atau Heart kerana data dan statistik sahaja tidak mencukupi untuk menggerakkan sokongan pengundi.

“Politik hari ini adalah politik emosi dan connection. Data penting. Statistik penting. Tetapi yang menggerakkan undi adalah perasaan,” katanya.

Wan Rosdy berkata, elemen Action pula menuntut UMNO membuktikan hasil kerja kerana rakyat sudah terlalu lama mendengar janji dan kini mahu melihat kesan sebenar setiap program dan inisiatif.

Beliau berkata, aktiviti semata-mata tidak mencukupi, sebaliknya ia mesti diterjemahkan kepada naratif kejayaan yang boleh difahami dan dirasai rakyat.

Dalam masa sama, beliau menegaskan kemenangan UMNO bukan “solo game” kerana ia memerlukan kekuatan jentera, termasuk Wanita, Pemuda, Puteri, komuniti, pertubuhan bukan kerajaan dan tentera digital.

“Dan paling penting, hubungan kita dengan komuniti, NGO dan masyarakat mesti terus diperkukuh,” katanya.

Bagi elemen terakhir iaitu Growth, Wan Rosdy berkata rakyat mengundi kerana masa depan, bukan semata-mata kerana nostalgia sejarah parti.
Katanya, UMNO mesti menawarkan visi yang jelas mengenai pekerjaan, pendidikan, ekonomi dan masa depan anak muda.

“Jika kita gagal menawarkan masa depan, maka kita akan ditinggalkan oleh masa depan itu sendiri,” katanya

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat