Niat betul cara salah

- Advertisement -

Penyanyi XPDC, Mael yang meninggal dunia, tetapi nama Datuk Hattan dan pembaca berita Astro Awani, Nursyazwani Saiful Sham tiba-tiba menjadi sebutan.

Semuanya gara-gara tindakan Hattan ‘sekolahkan’ Nursyazwani yang dikatakan salah bertanya soalan mengenai Mael sekali gus menyebabkan Hattan mendakwanya tidak membuat ‘homework’ sebelum menemubual.

Menambah ‘perisa’ bagi isu ini, program Jumaat lalu itu disiarkan secara langsung tanpa sebarang suntingan sekali gus menjadikan video itu tular serta-merta!

Maka, serta-merta juga ‘tentera netizen’ tanah air bermaharajalela di media sosial.

Hasilnya, Hattan menjadi mangsa hinaan, kutukan, cercaan dan pelbagai lagi kata-kata nista daripada mereka yang tidak bersetuju dengan tindakannya itu.

Tidak kurang juga Nursyazwani dan Astro Awani turut dihentam oleh mereka yang bersetuju dengan Hattan.

Sejak itu, media sosial meriah dengan pelbagai pendapat mengenai isu ini. Baik artis, wartawan, bekas wartawan, ‘perasan’ jadi wartawan, pegawai perhubungan awam dan orang ramai berlumba-lumba menulis pendapat mereka.

 

XPDC ketika era (dari kiri) Zua (bass), Izo (gitar), Amy (dram) dan Mael (penyanyi).
XPDC ketika era (dari kiri) Zua (bass), Izo (gitar), Amy (dram) dan Mael (penyanyi).

 

Dalam masa sama, turut menghentam dua individu terbabit.

Jadi, siapa yang bersalah sebenarnya? Jawapannya, dua-dua ada melakukan kesalahan.

Niat Hattan itu betul kerana dia membantu membetulkan fakta yang dirasakannya salah, tetapi caranya itu mungkin tidak kena.

Kebetulan ia pula disiarkan secara langsung.

Nursyazwani pula terang-terang bukan peminat Allahyarham Mael dan XPDC kerana dia tidak arif mengenai band itu.

Jika tidak, bagaimana dia boleh menyebut Saari Amri menulis lirik untuk XPDC! Langsung tak kena!

Dan, di situlah konfliknya.

Situasi ini mungkin tidak berlaku jika Nursyazwani (atau penerbitnya) membuat sedikit kajian latar belakang Mael dan XPDC sebelum bertanya kepada Hattan dan, Hattan pula jika lebih ‘cool’ dan berhemah sedikit, jawab dengan tenang, pasti semuanya okay.

Hattan yang memang dikenali dalam kalangan wartawan sering ‘cakap lepas’ (tapi hatinya baik) juga mungkin boleh rendahkan sedikit nadanya.

Selain itu, kesilapan yang mungkin dilakukan penerbit berita itu ialah pemilihan Hattan sebagai subjek untuk ditemubual.

 

 

Tidak dinafikan Hattan berkongsi era dengan Mael, tetapi mereka bukan dalam kelompok yang sama. Orang yang sepatutnya ditemubual ialah anggota XPDC sendiri seperti Zua, Amy dan Izo.

Tiga individu inilah yang bersama Mael sejak album pertama Darjah Satu pada 1990 hinggalah album terakhir Mael bersama mereka pada 1997 iaitu Brutal.

Ada beberapa lagi individu yang sesuai antaranya bekas pengurus, Yazit, bekas Eksekutif A & R Life Record, Mahmud Abu Bakar dan jurutera bunyi yang banyak terbabit dengan penerbitan album XPDC iaitu Zairi.

Jadi, cara untuk menamatkan kontroversi ialah Hattan boleh membuat permohonan maaf. Itu sudah cukup.

Nursyazwani juga boleh mengambil pendekatan sama sekali gus boleh menamatkan cerita sensasi ini serta menghentikan komen-komen negatif netizen.

Namun, hingga hari ini Hattan lebih selesa mendiamkan diri. Beliau ketika dihubungi Harian Metro kelmarin, hanya menjawab ‘no comment’.

Begitu juga dengan Nursyazwani yang mengambil pendekatan sama dan enggan memanjangkan lagi isu terbabit.

Difahamkan, pihak Astro Awani juga tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan buat masa ini.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat