Cetus idea filem Gadis Jolobu selepas lagu meledak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jika ikutkan, penyanyi otai, Datuk Hattan malas nak berlakon disebabkan memenatkan, namun, tidak mampu menolak membintangi filem mengetengahkan dialek negeri kelahirannya, Negeri Sembilan.

Selepas hampir lima tahun tidak beraksi di layar perak, penyanyi Biso Bonar itu bakal tampil menerusi filem bergenre komedi berjudul Gadis Jolobu The Movie arahan CL Hor.

Hattan berkata, dia banyak menolak tawaran lakonan selepas membintangi filem Rock Bro pada 2016.

“Kali terakhir, kemunculan saya dalam filem Rock Bro. Sebenarnya, saya sudah tak mahu berlakon sebab ia memenatkan, tetapi filem yang mengetengahkan dialek Negeri Sembilan ini memang saya tunggu.

“Sebab ini adalah naskhah mengangkat budaya Negeri Sembilan. Sebelum ini, ramai menghasilkan filem dalam dialek negeri lain, tak ramai pilih dalam dialek Negeri Sembilan.

“Jadi, saya fikir siapa lagi mahu perjuangkan dialek Negeri Sembilan jika bukan saya sendiri. Jadi, saya terpanggil untuk menerima tawaran filem ini,” katanya kepada BH Online.

Hattan ditemui pada majlis sidang media filem Gadis Jolobu The Movie di Kuala Lumpur Jazz And Arts Centre (KLJAC), semalam.

Turut hadir, pengarah, CL Hor, pengasas dan Pengarah Zebra Studio, Saraleana Nattaya Azmi dan Pengerusi Tremendous Entertainment, Datuk Jared Lim.

Hattan berkata, idea menghasilkan filem sudah tercetus antaranya dan pengasas Zebra Studio yang juga Penerbit Eksekutif, Saraleana Nattaya Azmi kira-kira tiga tahun lalu.

Namun, katanya, penggambaran baru dapat dimulakan disebabkan penularan pandemik COVID-19,” katanya kepada BH Online.

 

Hattan bersama produser, pengarah dan barisan pelakon filem Gadis Jolobu The Movie pada majlis sidang media di Kuala Lumpur Jazz And Arts Centre (KLJAC), semalam. - NSTP/Aswadi Alias
Hattan bersama produser, pengarah dan barisan pelakon filem Gadis Jolobu The Movie pada majlis sidang media di Kuala Lumpur Jazz And Arts Centre (KLJAC), semalam. – NSTP/Aswadi Alias

 

Mengulas lanjut, Hattan berkata idea untuk menghasilkan filem Gadis Jolobu The Movie tercetus selepas kejayaan lagu Gadis Jolobu kolaborasi bersama Waris yang meraih tontonan hampir 10 juta dalam laman YouTube.

“Lagu Gadis Jolobu mendapat sambutan sangat baik. Jadi, saya percaya naskhah filem ini juga akan mudah diterima.

“Bagaimanapun, kita hanya mampu berserah sama ada penonton berani atau sebaliknya ke pawagam ketika ditayangkan.

“Namun, bagi saya, tak salah sekiranya mencuba. Saya berharap negara sudah beralih ke fasa endemik apabila filem ditayangkan di pawagam Golden Screen Cinemas (GSC) pada Jun depan.

“Jika tidak, kasihan pembikin filem. Disebabkan itu, saya berharap kerajaan dapat membantu penggiat seni perfileman,” katanya.

Hattan percaya, filem Gadis Jolobu The Movie mendapat sambutan baik disebabkan pencapaian filem menggunakan dialek Pulau Pinang dan Perak seperti Mami Jarum dan Hantu Kak Limah boleh mencapai kutipan pecah panggung, jadi mengapa tidak filem ini,” katanya.

Selain bergelar pelakon utama, Hattan juga bertugas sebagai konsultan demi memastikan dialek yang dituturkan barisan pelakon tidak kedengaran pelik.

Filem kerjasama Zebra Studio Sdn Bhd dan Tremendous Entertainment arahan CL Hor itu memulakan penggambaran di Kampung Lonek, Negeri Sembilan, esok.

Selain Hattan, filem berkenaan turut dibintangi anak sulungnya, Adam E dan pelakon Joey Daud, Khir Rahman, Nizam Laksamana dan Ahirine Ahirudin.

Gadis Jolobu The Movie memaparkan kisah tiga bujang terlajak yang rapat sejak kecil dan berusaha mencari jodoh di kampung halaman.

Sumpahan ‘lambat sunat, lambatlah kahwin’ sering bermain dalam fikiran menyebabkan mereka berusaha mencari jodoh walaupun menghadapi pelbagai dugaan.

Filem Gadis Jolobu The Movie turut mengetengahkan adat pepatih dan keunikan budaya Minangkabau masyarakat setempat di Negeri Sembilan.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat