Penghantar Makanan Redah Hujan Kerana Tuntutan Kerja Beroleh Rezeki Tak Diduga

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – “Saya tidak sampai hati melihatnya berjalan dalam keadaan basah kuyup ketika menghantar pesanan malam itu dan mengambil keputusan untuk menumpangkannya,” kata Solihah Md Radzi.

Solihah, 29, berkata, kebetulan dia dan suami, Ahmad Syahmie Andin Salamat, 30, terserempak dengan penghantar makanan pejalan kaki, Norsazlin Safika Bakhtiar yang dilihatnya sanggup meredah hujan demi menghantar pesanan pelanggan di sekitar Kulim, Kedah, 27 Januari lalu.

Katanya, sejurus membantu Norsazlin menghantarnya ke rumah pelanggan dia memuat naik kisah itu di Facebook (FB) miliknya sebagai inspirasi kepada masyarakat atas semangat gigih Norsazlin mencari rezeki.

“Berkali-kali adik Norsazlin meminta maaf kepada kami kerana terbasahkan kusyen kereta dan takut menyusahkan.

“Tujuan saya hanya untuk berkongsi kepada kenalan FB saja dan tidak sangka perkongsian itu tular sehingga ramai yang memberi bantuan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Menurutnya, selepas perkongsiannya mendapat perhatian warganet pelbagai pihak membantu memberi sumbangan antaranya sebuah basikal dan motosikal serta menaja lesen motosikal kepada Norsazlin.

“Bella Audri dan suaminya yang juga ahli Rider Food Panda Kulim banyak membantu dalam pengumpulan sumbangan.

“Ia termasuk Kulim Property Sanggaran Muniandy yang menghadiahkan motosikal manakala lesen memandu motosikal B2 pula ditaja Jimat Canggih Kulim,” katanya.

Bagi Norsazlin, 22, dia menghargai semua bantuan yang dihulurkan kepadanya walaupun baru saja menjadi penghantar makanan pejalan kaki, 25 Januari lalu.

“Sebetulnya saya tidak menyangka akan jadi macam ini, terima kasih pada semua yang sudi membantu.

“Syukur, bagi saya semua bantuan itu mencukupi dan ketika ini saya akan cuba bantu ibu di kampung yang menghidap penyakit kencing manis,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, penyakit ibunya tidak terlalu serius namun banyak bergantung dengan ubat-ubatan yang memakan belanja agak tinggi.

“Saya minta maaf jika saya menggunakan lebih separuh duit sumbangan diperoleh kepada ibu.

“Semoga Allah mempermudahkan segala urusan mereka yang membantu dan mendoakan saya. Bagi kelas memandu pula dalam perancangan akan mula mendaftar selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya yang menyewa bilik di sekitar Kulim, Kedah. – HMetro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat