Hospital Swasta Kini Bersedia Terima Pesakit Covid-19

- Advertisement -

CYBERJAYA – Hospital swasta kini bersedia menerima sejumlah pesakit Covid-19 dalam usaha membantu mengurangkan kesesakan pesakit-pesakit Covid-19 yang kini mula memenuhi fasiliti kesihatan kerajaan.

Memetik laporan Bernama, Pengerusi Nexus Penjagaan Kesihatan Swasta (PHPN), Datuk Dr Jacob Thomas berkata, setakat ini hospital swasta telah menyediakan sebanyak 71 unit ventilator kepada hospital kerajaan di seluruh negara.

Menurut Dr Jacob, penyedia kesihatan swasta sentiasa menyokong usaha kerajaan dalam menangani apa sahaja situasi berkaitan penjagaan kesihatan, lebih-lebih lagi ketika negara diuji dengan peningkatan kes Covid-19 setiap hari.

“Selain itu, terdapat juga pesakit bukan Covid-19 yang dipindahkan ke hospital swasta contohnya pesakit yang perlu menjalani ujian dialisis dan pembedahan. Ini bagi mengurangkan risiko jangkitan dan membantu meningkatkan lagi kapasiti wad dan katil di hospital kerajaan,” katanya.

Akhir bulan lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba mengumumkan, penglibatan hospital swasta untuk menguruskan pesakit Covid-19 adalah antara langkah yang telah diambil kementeriannya bagi menangani peningkatan kes Covid-19.

“Sebanyak 15 buah hospital swasta di Johor turut menyatakan komitmen menyediakan 206 buah katil di wad dan lapan katil di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk pesakit Covid-19 bermula 26 Januari lalu.

“Selain itu, hospital swasta ini juga bersedia menerima rujukan pesakit bukan Covid-19 bagi mengurangkan kesesakan di hospital kerajaan di Johor,” kata Dr Adham Baba.

Dalam pada itu, Dr Jacob berkata, antara langkah yang diambil PHPN dalam membantu kerajaan termasuk menyediakan pusat saringan di hospital swasta serta ujian calitan kepada pekerja-pekerja asing dan setakat ini sebanyak 130 fasiliti swasta menyediakan pusat saringan Covid-19.

“PHPN juga mengambil langkah lebih awal semasa negara dilanda wabak ini dengan mewujudkan model ‘Public-Private Partnership’ (PPP) untuk merangsang penglibatan pihak swasta dan menambah baik mutu perkhidmatan kesihatan yang diberikan oleh kerajaan.

“Semua ini, dapat menyumbang kepada peningkatan produktiviti di hospital kerajaan dengan para barisan hadapan kini berdepan tekanan fizikal dan mental dalam mendepani situasi yang sangat mencabar ini,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat