CYBERJAYA: Bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyifatkan permohonan maaf Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak minggu lalu sebagai tidak memberi makna dan kesan yang mendalam kepada keadaan mantan Perdana Menteri mahu pun rakyat Malaysia.
Menurut Khairy, Mohd Najib mungkin memikirkan beliau hanya ada dua pilihan sahaja dalam skandal 1MDB iaitu sama ada beliau berkata ‘saya bersalah’, saya tahu apa berlaku dan saya perancang skim ini atau ‘I was clueless’.
“Pada asasnya, itu sahaja. Sama ada beliau berkata ‘saya bersalah’ dan saya tahu apa berlaku dan saya perancang skim ini atau ‘I was clueless’,” kata Khairy dalam Podcast Keluar Sekejap yang diterbitkan rabu lalu (30 Oktober 2024).
“Kenyataan ini (permohonan maaf Mohd Najib), ringkasannya, dalam satu dua ayat adalah saya tak tahu apa yang berlaku. Dan sebagai Menteri Kewangan, saya telah ditipu oleh lelaki berusia 30 tahun ini apapun dialah,” tegas Khairy.
Bagaimanapun Khairy tampak tidak menerima penjelasan dalam permintaan maaf tersebut.
Bekas Ketua Pemuda UMNO itu turut mendedahkan bahawa beliau dan beberapa orang lagi anggota kabinet pernah mencadangkan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak (perdana menteri ketika itu) supaya tindakan diambil terhadap ahli perniagaan Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low yang menjadi pusat segala kontroversi 1MDB sejak hampir sedekad lalu.
“Saya dalam kabinet pada waktu itu. Saya dalam Jemaah Menteri pada waktu itu. Of course, publicly, kita semua sokong dia. Sebab itu disiplin kerajaan, itu whip.”
“Saya pergi Dewan Rakyat, saya jumpa dia. Saya pergi jumpa dia dan saya cakap pada Datuk Seri Najib, saya kata, Sir, you have to throw Jho Low under the bus if he is responsible.”
Bagaimanapun menurut Khairy, Najib enggan bertindak dengan alasan Jho Low adalah ahli perniagaan yang sah dan berjaya – “and he looked at me and he said, no, Jho Low is a legitimate businessman.”
“Tan Sri Muhyiddin (Timbalan Perdana Menteri ) membayar harganya. (Datuk Seri ) Shafie Apdal (Menteri Pembangunan Luar Bandar) membayar harganya. (Datuk Seri) Mukhriz (Menteri Besar Kedah) membayar harganya,” kata Khairy lagi.
Khairy juga mendakwa selepas pemecatan Muhyiddin dan Shafie, anggota Jemaah Kabinet diberi arahan tidak lagi membincangkan isu 1MDB.
“Jika kita mengambil permohonan maaf Najib pada nilai muka, mendakwa dia ditipu, maka seperti yang ditegaskan oleh bekas Ahli Parlimen Damansara Tony Pua, kita perlu bertanya: Mengapa Najib tidak mengambil tindakan selanjutnya apabila isu ini terbongkar? Mengapa menolak Timbalan Perdana Menteri, Menteri, Peguam Negara, atau ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)?
“Tingkah laku itu tidak konsisten dengan seseorang yang mendakwa telah ditipu,” kata Khairy.
Khairy juga mengimbau kembali bagaimana Mohd Najib begitu melindungi Jho Low.
“Sampai satu tahap dia minta dengan agak tegas. Mungkin antara kali pertama yang saya melihat Dato’ Seri Najib marah dalam kabinet, supaya tak dibangkitkan lagi, dibincang. Tetapi seolah-olah ada mental block.
“Mental block yang, you know, sama ada dia dah sedar ataupun tidak apa yang Jho Low buat, mental block.
Dan terus dipertahankan. Macam Shahril katalah, kalau kita nak charitable, dia dah sampai tahap dia dah tahu benda tu berlaku dan benda tu salah.
“Tetapi untuk unwind benda tu, dia akan kena kos yang terlalu tinggi lah. Sama ada kos reputasi, kos kewangan ataupun kos politik. Dan dia rasa he’s too far in it already. Tetapi dah sampai tahap tak boleh sentuh langsung (mengenai 1MDB), terutamanya Jho Low lah. Dahlah dia tamak, tak diet pula tu Jho Low ni.”
Ulasan Khairy ini merupakan siri Podcast popular Keluar Sekejap yang dirakam sebelum keputusan Mahkamah Tinggi rabu lalu yang memutuskan Mohd Najib perlu membela diri atas 25 tuduhan kes salah guna kedudukan dan penyelewengan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion ($690 juta).
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan ada kes prima facie (pada zahirnya) terhadap Mohd Najib.