Pemuda Umno akan buat laporan polis siasat Memo Dalaman AGC

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pemuda Umno akan menggerakkan ahli-ahlinya di seluruh negara untuk membuat laporan polis supaya satu siasatan dijalankan berkenaan “Memo Dalaman” Jabatan Peguam Negara bertarikh 10 Oktober 2019.

Ketuanya, Dr Akmal Saleh berkata, Pemuda Umno mengambil maklum kenyataan Peguam Negara Malaysia, Tan Sri Idrus Harun yang menyatakan bahawa siasatan sedang dijalankan untuk menyiasat kebocoran dokumen tersebut.

“Walau bagaimanapun, Pemuda Umno berasa terkilan kerana sehingga ke hari ini, tidak ada maklum balas sahih yang menjawab kepada tuntutan agar siasatan dijalankan sama ada dokumen tersebut berserta isi kandungannya sahih ataupun tidak.

“Mewakili Pemuda Umno, saya juga telah mengeluarkan kenyataan pada 18 Ogos 2023 mendesak supaya satu siasatan dijalankan berkenaan kesahihan dokumen yang didakwa “Memo Dalaman” Jabatan Peguam Negara bertarikh 10 Oktober 2019.

“Namun, amat mendukacitakan apabila Jabatan Peguam Negara telah mengumumkan bahawa Peguam Negara kini sedang bercuti sehingga beliau bersara kelak pada 6 September 2023,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Jelas Dr Akmal, tindakan Peguam Negara mengumumkan bercuti tanpa memberikan hasil siasatan dan maklum balas wajar kepada desakan Pemuda Umno, telah meninggalkan isu ini tergantung tanpa ada sebarang jawapan.

“Sehingga ke hari ini, tidak ada mana-mana pihak yang boleh mengesahkan kesahihan dokumen tersebut.

“Ini secara tidak langsung memberikan impak negatif kepada tahap keyakinan orang awam kepada Jabatan Peguam Negara.

“Maka yang demikian, atas dasar prihatin dan memegang teguh kepada Rukun Negara Malaysia yang ke-3 dan ke-4, Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang, Pemuda Umno akan menggerakkan ahli-ahlinya di seluruh negara untuk membuat laporan polis supaya satu siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa yang berkenaan, dan tindakan wajar diambil bagi mengembalikan keyakinan orang awam terhadap sistem perundangan Malaysia,” tegasnya.

Pada 19 Ogos lalu, Pemuda Umno mendesak Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun menyiasat kesahihan dokumen tular yang didakwa sebagai ‘Memo Dalam’ Jabatan Peguam Negara (AGC) oleh pasukan pendakwaan International Petroleum Investment Company (IPIC).

Dr Akmal Saleh berkata, dokumen setebal 12 muka surat bertarikh 10 September 2019 itu menyentuh tentang enam pertuduhan dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Menurutnya, sekiranya ia sahih, AGC perlu mengambil tindakan sewajarnya dengan menarik semula enam pertuduhan yang dikenakan terhadap dua individu tersebut selaras dengan rekomendasi dalam dokumen itu.

“Isi kandungan dokumen yang tular tersebut berbentuk rekomendasi daripada pasukan pendakwaan IPIC yang sebulat suara mengambil pendirian bahawa enam pertuduhan tersebut tidak memenuhi kehendak minimum untuk sesuatu pertuduhan pecah amanah (CBT) bagi mendapatkan kes prima facie.

“Dokumen yang tular didakwa ditujukan kepada Tan Sri Tommy Thomas (Peguam Negara Ketika itu),” katanya.

Beliau berkata, jika dokumen itu juga sahih, pihaknya meminta satu siasatan dibuat bagi menyiasat sama ada wujud salah guna kuasa dan kedudukan oleh individu tertentu yang bertentangan dengan undang-undang bagi memastikan kes pertuduhan diteruskan terhadap Najib.

“Bahkan, elemen pendakwaan politik seperti ini untuk memberi imej negatif dan mendatangkan kerugian tidak wajar berlaku. Negara juga telah mengalami kerugian dengan hanya memperoleh semula AS$1.8 billion berbanding rundingan yang dipersetujui sebanyak AS$7 billion antara pentadbiran Najib dengan pihak IPIC,” jelas beliau.

Jelas Akmal, pihaknya tidak akan bertolak ansur dan akan menentang tegas cubaan daripada mana-mana pihak yang ingin menyalahgunakan undang-undang bagi kepentingan peribadi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat