KUALA LUMPUR,— Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) menafikan dakwaan seekor harimau yang kelihatan kurus dan tidak sihat di Tennoji Zoo, Osaka, Jepun adalah Harimau Malaya.
PERHILITAN dalam kenyataan memaklumkan, hasil semakan dan pengesahan lanjut mendapati hidupan liar yang dipaparkan dalam video tular itu sebenarnya ialah Harimau Amur atau Panthera tigris altaica, bukannya Harimau Malaya atau Panthera tigris jacksoni.

Jabatan itu turut menegaskan Harimau Amur berkenaan bukan milik PERHILITAN atau KerajaanMalaysia seperti yang didakwa dalam beberapa perkongsian di media sosial.
“Jabatan PERHILITAN mengambil maklum berhubung penularan sebuah video laporan oleh The Sun bertajuk ‘Netizen Sparks Outcry Over Emaciated Malayan Tiger In Japan’ yang telah tersebar luas di media sosial pada 30 April 2026.
“Video tersebut memaparkan seekor harimau yang didakwa sebagai Harimau Malaya dalam keadaan kurus dan tidak sihat di Tennoji Zoo, Osaka, Jepun, sekali gus mencetuskan kebimbangan serta reaksi negatif dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Menurut PERHILITAN, penularan maklumat tidak tepat itu telah menyebabkan kekeliruan awam, khususnya apabila spesies hidupan liar berkenaan disalah anggap sebagai Harimau Malaya.
Katanya, dakwaan tersebut juga boleh menjejaskan persepsi terhadap usaha pemuliharaan spesies terancam negara.
Sehubungan itu, PERHILITAN mengingatkan orang awam supaya lebih bertanggungjawab ketika berkongsi maklumat, khususnya di media sosial, dengan memastikan kesahihan fakta sebelum menyebarkan sebarang kandungan.
“Penyebaran maklumat tidak tepat atau tidak disahkan boleh menimbulkan kekeliruan, mencetuskan persepsi negatif, serta menjejaskan usaha pemuliharaan hidupan liar di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.
PERHILITAN turut menasihatkan orang ramai supaya merujuk sumber rasmi kerajaan atau pihak berautoriti bagi mendapatkan maklumat tepat dan sahih, selain mengelakkan spekulasi tidak berasas.
Jabatan itu menegaskan komitmennya untuk terus memastikan pemuliharaan hidupan liar negara dipelihara serta bekerjasama dengan pihak berkepentingan di dalam dan luar negara bagi menjamin kebajikan spesies terancam termasuk Harimau Malaya.



