Malaysia cipta rekod dunia baharu Memanah acara barebow lelaki berpasukan

KUALA LUMPUR, — Malaysia mencipta sejarah dalam sukan memanah apabila pasukan barebow lelaki negara merekodkan catatan baharu dunia pada Kejohanan Barebow Asia 2026 di Shah Alam.

Rekod itu dilakukan oleh trio negara, Khairul Anuar Mohamad, Norhisyam Ismail dan Mohd Zaidi Hashim, yang mengumpul keseluruhan 1,864 mata dalam acara berpasukan lelaki barebow, pusingan 216 anak panah pada jarak 50 meter.

Menurut World Archery, catatan tersebut mengatasi rekod dunia terdahulu sebanyak 1,846 mata yang dicipta pasukan Amerika Syarikat pada November 2022 oleh Marcus Cooley, Rick Stonebraker dan Matt Yacca.

Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) menerusi laman rasminya turut menyifatkan kejayaan itu sebagai detik bersejarah buat sukan memanah barebow negara apabila catatan 1,864 mata tersebut meletakkan Malaysia di kedudukan teratas dunia bagi kategori berpasukan lelaki barebow.

Berdasarkan keputusan rasmi kejohanan, Malaysia menduduki tempat pertama dalam pusingan kelayakan berpasukan lelaki, diikuti Vietnam di tempat kedua dengan 1,855 mata dan Thailand di tempat ketiga dengan 1,814 mata.

Kejayaan itu lebih manis apabila ia dicapai di laman sendiri, dalam kejohanan yang berlangsung di Kompleks Sukan Negara Shah Alam bermula 30 April hingga 3 Mei 2026.

Untuk rekod, acara barebow merupakan disiplin memanah yang menuntut ketepatan tinggi tanpa bantuan peralatan moden tertentu seperti sight atau alat bidikan yang biasa digunakan dalam kategori recurve dan compound.

Pencapaian Khairul Anuar, Norhisyam dan Zaidi bukan sahaja mengangkat nama Malaysia di pentas Asia, malah membuktikan kemampuan atlet negara bersaing di peringkat tertinggi dunia dalam disiplin barebow yang semakin berkembang.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat