Tinggal di pedalaman bukan halangan Orang Asli keluar mengundi

ALOR GAJAH – Kediaman di kawasan pedalaman bukan penghalang masyarakat Orang Asli suku Temuan di Kampung Orang Asli Bukit Besar untuk menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 hari ini.

Kesedaran mengenai kepentingan menyertai proses demokrasi mendorong penduduk kampung itu keluar ke pusat mengundi bagi memilih wakil rakyat mereka.

Riduan Othman, 24, berkata beliau keluar rumah seawal pukul 8 pagi untuk mengundi dan berpuas hati dengan kelancaran proses berkenaan.

“Tinggal di kawasan pedalaman tidak sepatutnya menghalang kita daripada mengundi. Semua orang perlu keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing.

“Setiap undi penting bagi memastikan suara rakyat didengari dalam menentukan kepimpinan dan hala tuju pembangunan kawasan masing-masing,” katanya kepada Bernama selepas mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Machap Umboo di sini, hari ini.

Sementara itu, Haiza Hardi, 22, berkata beliau hadir bersama keluarga pada awal pagi kerana percaya setiap pengundi perlu menunaikan tanggungjawab ketika pilihan raya.

“Saya berharap lebih ramai akan keluar mengundi dan menunaikan tanggungjawab masing-masing,” kata Haiza yang mengundi buat kali kedua.

Bagi pengundi kali pertama, Sukma Romi, 30, pengalaman itu pada mulanya menimbulkan rasa gemuruh, namun beliau lega dan gembira selepas selesai membuang undi.

Menurut Sukma, proses pengundian berlangsung dengan cepat dan mudah, manakala bantuan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melancarkan pengalaman pertamanya itu.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya menyaksikan persaingan tiga penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Ginie Lim Siew Lin; penyandang daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Ngwe Hee Sem; dan Prasanth Kumar Brakasam daripada Parti Bersama Malaysia. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat