Imej ATM tercemar, tindakan tegas akan diambil – Khaled Nordin

KOTA TINGGI – Penemuan dadah di Pangkalan Udara Subang mencemarkan imej Angkatan Tentera Malaysia (ATM), khususnya Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau menegaskan Kementerian Pertahanan (MINDEF) tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana anggota yang didapati terlibat dalam kegiatan jenayah, tanpa mengira pangkat atau kedudukan.

Mohamed Khaled berkata perbuatan mengkhianati amanah dan menjejaskan integriti boleh membawa hukuman berat. Jika kegiatan seumpama itu berleluasa, katanya, ia juga boleh menjejaskan kesiagaan ATM untuk mempertahankan negara dan menjaga kedaulatannya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Apresiasi Tabika KEMAS Parlimen Kota Tinggi di sini hari ini, lapor Bernama.

Susulan penemuan itu, MINDEF bercadang menubuhkan jawatankuasa siasatan dalaman sebaik sahaja siasatan polis selesai. Jawatankuasa itu akan meneliti sama ada kejadian berkenaan merupakan kes terpencil atau sudah menjadi budaya dalam kalangan warga kerja, selain mengenal pasti kemungkinan kelemahan dalam prosedur keselamatan sedia ada.

“Selepas siasatan polis selesai, memang kita cadang akan tubuhkan (jawatankuasa) sebab kita nak semak sama ada ini kes-kes terpencil ataupun ia sudah menjadi budaya. Itu kita akan semak,” katanya.

Mohamed Khaled berkata hasil siasatan dalaman itu akan dijadikan asas untuk mengetatkan kawalan keselamatan di semua pangkalan udara di seluruh negara. Pemeriksaan serupa juga akan dilaksanakan di semua pangkalan udara.

Beliau turut berkata kemungkinan aset tentera, termasuk pesawat pengangkut, digunakan oleh sindiket dadah tidak boleh diketepikan. Dalam pada itu, beliau memuji tindakan Marsyal Provos yang mengesan kejadian tersebut.

Sebelum ini, Mohamed Khaled memaklumkan dadah ditemukan dalam lima bagasi dan sebuah kotak ketika pemeriksaan rutin terhadap barangan yang hendak dimuatkan ke dalam pesawat TUDM pada 17 November.

Penemuan di Bangunan Pergerakan Udara Pangkalan Udara Subang itu merupakan kejadian pertama seumpamanya yang dikesan menerusi pemeriksaan rutin berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata 11 individu, termasuk lima pegawai TUDM yang disyaki terlibat, ditahan di sekitar Lembah Klang dan Labuan pada hari yang sama susulan kejadian itu. – SUARA.TV/BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat