Ada sesuatu yang istimewa apabila lagu-lagu rock yang pernah mengisi ruang kehidupan kita dipersembahkan dalam alunan muzik orkestra. Riff gitar yang cukup dikenali, dentuman dram yang membangkitkan semangat serta vokal penuh emosi kini bakal diberikan nafas baharu menerusi gabungan bunyi instrumen klasik yang lebih megah dan mengasyikkan.
Bagi peminat muzik rock, November ini pastinya menjadi bulan yang dinanti-nantikan apabila TUTAN Entertainment kembali dengan penganjuran Symphonic Rock 3: Where Rock and Orchestra Collide, sebuah persembahan yang menggabungkan dua dunia muzik berbeza dalam satu pentas yang penuh tenaga.
Berlangsung dari 13 hingga 15 November 2026 di Stage 1 Theatre, PJPAC, 1 Utama, Petaling Jaya, konsert edisi ketiga ini menjanjikan pengalaman muzik yang bukan sekadar mengimbau nostalgia, tetapi turut membuka ruang untuk pendengar menikmati lagu-lagu legenda dalam perspektif yang berbeza.
Bayangkan lagu Stairway to Heaven nyanyian Led Zeppelin yang cukup ikonik, kini dihiasi susunan muzik orkestra yang lebih luas dan dramatik. Begitu juga dengan Numb daripada Linkin Park, yang membawa emosi tersendiri apabila elemen rock moden bertemu dengan keindahan bunyi alat muzik klasik. Tidak ketinggalan Purple Rain daripada Prince, Wind of Change oleh Scorpions, Thunderstruck daripada AC/DC serta Mr. Brightside milik The Killers.

Menariknya, perjalanan muzik ini tidak terhenti pada satu generasi sahaja. Penonton turut dibawa menyelami karya daripada Deep Purple, The Rolling Stones, Green Day dan Arctic Monkeys, selain sebuah penghormatan khas buat muzik rock tempatan.
Apa yang menjadikan Symphonic Rock 3 lebih menarik ialah pendekatannya yang tidak sekadar meletakkan orkestra sebagai muzik latar kepada lagu-lagu rock. Sebaliknya, setiap karya diberikan susunan semula yang lebih kreatif, dengan mengekalkan identiti asal lagu berkenaan.
Alunan biola, cello, trompet, woodwind dan perkusi akan bergabung dengan tenaga gitar elektrik serta dentuman dram, menghasilkan sebuah landskap bunyi yang lebih besar. Ada lagu yang mungkin kedengaran lebih sinematik dan penuh emosi, manakala sesetengahnya masih mengekalkan karakter keras serta semangat rock yang tidak pernah pudar.
Malah, konsert ini turut menampilkan gabungan unik menerusi mash-up lagu Call Me daripada Blondie dan I Was Made for Lovin’ You oleh KISS. Dua karya yang mempunyai identiti tersendiri ini bakal disatukan dalam satu susunan muzik yang pastinya memberikan kejutan kepada penonton.

Menurut Kevin Field, Conductor Laureate TUTAN Festival Orchestra, Symphonic Rock bukan sekadar usaha menambahkan bunyi instrumen klasik ke dalam lagu rock, sebaliknya mahu memberikan peluang kepada penonton menikmati muzik yang sudah mereka kenali dari sudut pandang baharu.
Inilah keistimewaan persembahan tersebut. Lagu yang mungkin sudah berulang kali didengar menerusi radio, fon kepala atau sistem audio di dalam kereta, kini hadir dengan warna dan dimensi yang berbeza. Melodinya masih sama, tetapi pengalaman menikmatinya mungkin jauh lebih mendalam.
Diterajui oleh barisan vokalis Muzza dan Joy Victor bersama Kevin Field serta TUTAN Festival Orchestra, persembahan ini bakal menghidupkan semula lagu-lagu ikonik menerusi gabungan vokal, tenaga persembahan langsung dan kekuatan sebuah orkestra penuh.
Bagi mereka yang membesar dengan muzik rock, inilah peluang untuk kembali menghayati lagu-lagu yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup. Sementara generasi baharu pula berpeluang mengenali karya-karya hebat ini melalui pendekatan muzik yang lebih segar.
Akhirnya, Symphonic Rock 3 membuktikan bahawa muzik tidak pernah terikat pada satu bentuk atau zaman. Rock boleh menjadi keras, orkestra boleh menjadi megah, tetapi apabila kedua-duanya bertemu, lahirlah sebuah pengalaman yang mampu menyentuh emosi dan membangkitkan semangat dalam masa yang sama.
Jadi, bersedialah untuk menikmati malam yang dipenuhi gema gitar, dentuman dram dan alunan orkestra yang menggetarkan jiwa. Kerana kali ini, muzik rock bukan sekadar untuk didengar, tetapi untuk dirasai.
Symphonic Rock 3: Where Rock and Orchestra Collide berlangsung pada 13 hingga 15 November 2026 di Stage 1 Theatre, PJPAC, 1 Utama, Petaling Jaya. Tiket ditawarkan pada harga RM120 hingga RM320 dan boleh didapati menerusi platform OneTix.



