Muhyiddin tidak tolak kerjasama PH, rundingan rasmi belum ada

MELAKA — Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengalu-alukan sokongan Pakatan Harapan (PH) terhadap calon parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, namun tidak mengeluarkan sebarang arahan rasmi kepada ahlinya untuk menyokong atau membalas sokongan calon PH.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Bersatu menghargai sokongan mana-mana pihak, termasuk parti di luar gabungan itu, bagi membantu calon mereka mencapai kemenangan di kawasan yang ditandingi.

Bagaimanapun, katanya, ahli Bersatu memahami pendekatan yang perlu diambil di kawasan tertentu tanpa memerlukan arahan khusus daripada kepimpinan parti.

“Kita mengalu-alukan sesiapa saja yang memikirkan ada baik untuk sokong Bersatu. Tentu kita sanjung kerana kita mahu supaya calon-calon yang kita tanding ini, letak untuk tanding ini boleh mencapai kemenangan.

“Walaupun kita tak ada keluar arahan mana-mana, tetapi di kalangan ahli-ahli Bersatu mereka faham apa yang patut dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di DUN Sungai Udang, di sini, hari ini.

Menurutnya, perbincangan awal yang berlangsung sebelum ini lebih kepada usaha mengelakkan pertembungan kerusi serta mencari ruang persefahaman politik, namun beliau tidak terbabit secara langsung dalam rundingan berkenaan.

“Resminya tidak ada. Walaupun ada perbincangan, perbincangan peringkat awal itu biasalah pasal nak elakkan daripada pertembungan ataupun ada persefahaman, tapi saya tak pernah terlibat dalam perundingan-perundingan ini. Di peringkat saya tidak ada,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan Bersatu terbuka menerima kerjasama daripada PH sekiranya terdapat tawaran untuk berbuat demikian.

“Ya kita alu-alukan. Kita tak akan kata nak tolak, jangan,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat