KUALA LUMPUR – Kerajaan Madani menyasarkan nisbah hutang Persekutuan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dikurangkan kepada 60 peratus menjelang 2028, meskipun jumlah hutang negara masih meningkat susulan belanjawan defisit dan komitmen kewangan yang diwarisi.
Dalam jawapan Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada Khamis, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan memaklumkan nisbah hutang kepada KDNK dijangka menurun daripada 65.2 peratus pada 2025 kepada 64 peratus tahun ini dan 63.7 peratus pada 2027.
Kerajaan menjelaskan, hutang terus meningkat kerana pinjaman baharu diperlukan untuk membiayai defisit serta menampung baki hutang terdahulu.
“Pentadbiran Madani mengambil alih kerajaan ketika jumlah hutang sudah melepasi RM1 trilion.
“Antara tanggungan kewangan diwarisi termasuk RM13 bilion yang diperlukan pada 2023 bagi melunaskan bon 1Malaysia Development Berhad (1MDB),” kata Anwar yang juga Menteri Kewangan.
Bagaimanapun jelas beliau, defisit fiskal berjaya dikurangkan daripada 6.4 peratus pada 2021 kepada 3.7 peratus pada 2025.
“Pinjaman baharu turut menurun daripada RM100 bilion pada 2021 kepada RM75.6 bilion tahun lalu.
“Bagi menghadapi kesan konflik Asia Barat, kerajaan meningkatkan peruntukan STR dan SARA kepada RM16 bilion dalam Belanjawan 2027, selain meneruskan subsidi bahan api dan bantuan kepada rakyat,” katanya.
Sementara itu, kerajaan turut memberi jaminan akan mengutamakan perlindungan rakyat, bekalan keperluan asas serta kelangsungan perniagaan dan pekerjaan sekiranya konflik semakin meruncing.



