Gibran mahu letak jawatan Naib Presiden Indonesia, Prabowo tidak bantah

JAKARTA – Kemelut politik Indonesia semakin memuncak apabila Naib Presiden, Gibran Rakabuming Raka menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan susulan kontroversi kelayakan akademiknya yang kini menjadi pertikaian di mahkamah dan Parlimen negara itu.

Lebih mengejutkan, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dilaporkan tidak menolak hasrat pengunduran anak sulung bekas Presiden Joko Widodo (Jokowi) itu, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai masa depan hubungan politik antara kedua-dua pemimpin berkenaan.

Perkembangan itu disahkan Menteri Sekretaris Negara Indonesia, Prasetyo Hadi dalam sidang media di Istana Kepresidenan, Jakarta, hari ini.

Menurut Prasetyo, Gibran menyampaikan hasrat tersebut ketika mengadakan pertemuan tertutup dengan Prabowo selama kira-kira dua jam setengah pada pagi Selasa.

“Dalam pertemuan itu, Bapak Wakil Presiden menyatakan niat untuk mengundurkan diri menghadapi dinamika yang berkembang berkaitan dengan keputusan Mahkamah Konstitusi (MK) dan Mahkamah Agung (MA),” katanya seperti dilaporkan media Indonesia.

Prasetyo turut menjelaskan bahawa laporan mendakwa Prabowo menolak hasrat pengunduran Gibran adalah tidak benar.

Sebaliknya, Presiden Indonesia itu memberikan beberapa pandangan dan nasihat kepada Gibran berhubung perkembangan politik serta perundangan yang sedang dihadapinya.

Bagaimanapun, belum ada pengesahan bahawa peletakan jawatan tersebut telah diterima atau berkuat kuasa.

Kontroversi kelayakan akademik

Hasrat pengunduran Gibran, 39, muncul ketika kedudukannya sebagai Naib Presiden semakin tertekan susulan keputusan Mahkamah Agung dan Mahkamah Konstitusi Indonesia berhubung dokumen kelayakan akademik yang digunakannya ketika bertanding dalam Pilihan Raya Presiden 2024.

Mahkamah Agung dilaporkan memutuskan bahawa surat keterangan penyetaraan pendidikan menengah Gibran yang digunakan bagi memenuhi syarat pencalonan tidak sah.

Keputusan itu menyusuli pertikaian mengenai dokumen pendidikan Gibran di Singapura dan Australia, yang menimbulkan persoalan sama ada beliau memenuhi syarat perlembagaan untuk memegang jawatan Naib Presiden.

Bagaimanapun, Gibran sebelum ini mempertahankan kelayakan akademiknya dengan menegaskan bahawa beliau tidak mungkin dapat melanjutkan pengajian ke peringkat universiti sekiranya tidak menamatkan pendidikan menengah.

Dalam pertemuan bersama Prabowo hari ini, Gibran turut memohon peluang untuk membuktikan kesahihan dokumen akademiknya melalui proses di Mahkamah Tata Usaha Negara (PTUN).

50 anggota Parlimen desak tindakan

Pada masa sama, tekanan terhadap Gibran semakin meningkat apabila kira-kira 50 anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia daripada enam fraksi dilaporkan menyokong cadangan menggunakan mekanisme Hak Menyatakan Pendapat (HMP).

Langkah itu bertujuan membolehkan Parlimen meneliti persoalan kelayakan Gibran sebagai Naib Presiden, yang berpotensi membuka laluan kepada proses pemecatan sekiranya syarat perlembagaan dipenuhi.

Anggota DPR, Mardani Ali Sera mengesahkan bahawa cadangan tersebut telah memperoleh kira-kira 50 tandatangan dan diserahkan kepada pimpinan dewan.

Sementara itu, Ketua DPR, Puan Maharani meminta semua pihak tidak membuat spekulasi mengenai kedudukan Gibran dan menegaskan sebarang tindakan perlu melalui proses yang ditetapkan.

Pihak Istana Kepresidenan turut menyatakan penghormatan terhadap hak serta kuasa Parlimen untuk membincangkan isu berkenaan.

Hubungan Prabowo-Jokowi semakin renggang?

Perkembangan terbaru itu turut berlaku ketika hubungan politik antara Prabowo dan Jokowi dilaporkan semakin renggang selepas kedua-duanya membentuk kerjasama yang membawa kemenangan besar dalam Pilihan Raya Presiden 2024.

Gibran dipilih sebagai pasangan Prabowo dalam pilihan raya tersebut, sekali gus dilihat sebagai lambang kesinambungan pengaruh politik Jokowi selepas bekas Presiden itu menamatkan pemerintahannya selama dua penggal.

Bagaimanapun, pelbagai perkembangan politik kebelakangan ini menimbulkan persoalan mengenai kekuatan hubungan antara kem Prabowo dan keluarga Jokowi.

Reuters melaporkan bahawa ketegangan tersebut semakin ketara susulan beberapa kontroversi politik, termasuk penahanan pegawai kanan polis yang didakwa terbabit dalam kegiatan pemintasan komunikasi secara haram.

Pengunduran Gibran, sekiranya menjadi kenyataan, bukan sahaja bakal mengubah landskap kepimpinan Indonesia, malah boleh memberi kesan besar terhadap pengaruh politik Jokowi yang sebelum ini memainkan peranan penting dalam kemenangan Prabowo.

Buat masa ini, Gibran masih kekal sebagai Naib Presiden Indonesia sementara sebarang keputusan rasmi mengenai hasrat pengundurannya belum diumumkan.

Perkembangan tersebut kini menjadi perhatian utama politik Indonesia, khususnya sama ada Prabowo akan menerima pengunduran Gibran atau memberikan ruang kepada beliau mempertahankan kelayakannya melalui proses perundangan. – Suara.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat