Jangan Lakukan Pembelian Panik – Mat Sabu

MELAKA TENGAH – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, menggesa orang ramai supaya tidak melakukan pembelian panik susulan kebimbangan terhadap kemungkinan gangguan bekalan makanan, sebaliknya meneruskan pembelian secara biasa.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa memantau perkembangan semasa serta mendapatkan pandangan daripada pihak universiti dan institusi penyelidikan, termasuk kajian berkaitan perubahan iklim, bagi memastikan kesiapsiagaan negara dalam menghadapi sebarang kemungkinan.

Menurutnya, setakat ini kerajaan belum mengeluarkan sebarang arahan kepada rakyat untuk membuat pembelian atau menyimpan bekalan makanan secara berlebihan.

“Kita tidak mahu ada pembelian panik. Kita tidak sampai lagi ke peringkat arahan untuk membuat pembelian. Hari ini pun barangan ada seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Himpunan Semarak Tani @ Jualan Agro MADANI Mega, Melaka Tengah, hari ini.

Mat Sabu berkata, pembelian secara berlebihan hanya akan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat, sedangkan kebanyakan pengguna lazimnya membeli barangan keperluan untuk kegunaan dua hingga tiga hari.

Sehubungan itu, beliau berharap orang ramai dapat mengekalkan corak pembelian seperti biasa dan tidak bertindak berdasarkan kebimbangan yang belum disahkan.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa negara mempunyai persediaan stok beras yang mampu menampung keperluan sehingga enam bulan, manakala bekalan ikan pula disasarkan untuk tempoh sehingga lapan bulan.

Menurutnya, stok beras negara sentiasa diperbaharui melalui proses penambahan bekalan bagi memastikan simpanan pada tahap mencukupi dan berterusan.

Bagi bekalan ikan, Mat Sabu berkata, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bersama pihak peniaga swasta turut memainkan peranan dalam memperkukuh simpanan melalui penyediaan kemudahan penyimpanan ikan sejuk beku.

Langkah itu, katanya, termasuk penyimpanan ikan yang menjadi sumber makanan rakyat bagi memastikan bekalan dapat disediakan sekiranya berlaku gangguan terhadap rantaian bekalan.

Beliau menegaskan bahawa usaha berkenaan merupakan sebahagian daripada persediaan dan ikhtiar kerajaan dalam memperkukuh keterjaminan makanan negara.

Bagaimanapun, katanya, faktor cuaca yang berada di luar kemampuan untuk dikawal tetap menjadi cabaran yang perlu ditangani mengikut keadaan sekiranya berlaku.

“Ini ke arah persediaan kita, ikhtiar kita. Kalau nak jadi lain, cuaca yang tak dapat kita menghadapinya, itu lain. Kita hadapi waktu itu,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat