Sudah-sudahlah politik menjerit, saya ajak dialog bukan berdebat – Ginie Lim, calon DAP

ALOR GAJAH,– Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya, Datuk Ginie Lim Siew Lin menegaskan pelawaannya kepada dua pencabar untuk berdialog bertujuan membincangkan masa depan kawasan itu, bukannya mencetuskan perdebatan politik.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran media sosial susulan serangan yang disifatkannya datang daripada cybertrooper selepas mengundang calon Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersama Malaysia (Bersama) menyertai dialog berkenaan.

“Sudah-sudahlah politik menjerit. Kita ajak bincang perancangan Machap Jaya, bukan ajak berdebat,” katanya.

Menurut Ginie, jemputan sudah dikemukakan kepada kedua-dua calon bagi membuka ruang perbincangan mengenai perancangan pembangunan serta penyelesaian masalah penduduk setempat.

“Semalam saya ada hantar jemputan dialog kepada calon BN dan Bersama. Harap calon BN tak buat-buat lupa, esok saya follow up lagi, okay,” katanya dalam hantaran tersebut.

Beliau menegaskan budaya politik yang dipenuhi pertengkaran dan serangan peribadi perlu dihentikan kerana rakyat lebih memerlukan perbincangan mengenai tawaran serta langkah membangunkan kawasan mereka.

Dalam perkembangan sama, Ginie merakamkan penghargaan kepada calon Bersama yang menurutnya telah bersetuju menerima pelawaan dialog itu.

Bagaimanapun, beliau masih menantikan maklum balas calon BN dan menyatakan kesediaan mengadakan pertemuan pada bila-bila masa, dengan masa serta lokasi ditentukan pihak berkenaan.

Kerusi Machap Jaya menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Ginie, penyandang daripada BN, Datuk Ngwe Hee Sem dan calon Bersama, B Prasanth Kumar. Jemputan dialog itu turut dilaporkan telah diserahkan ketika proses penamaan calon pada 31 Oktober lalu.

Terdahulu, Ngwe dilaporkan belum memutuskan sama ada menerima jemputan tersebut kerana perlu meneliti jadual kempennya, manakala Prasanth Kumar menyambut baik dialog sebagai ruang menghimpunkan idea demi kepentingan penduduk Machap Jaya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat