Pernah umum Februari, sampai sekarang kerajaan belum dedah hasil siasatan mafia korporat – Syed Saddiq

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempersoalkan kegagalan kerajaan mendedahkan hasil siasatan awal berhubung kegiatan mafia korporat walaupun perkara itu pernah diumumkan pada Februari lalu.

Syed Saadiq berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada minggu lalu sekali lagi berjanji bahawa siasatan telus dan bebas akan dilaksanakan di bawah pimpinan Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, selain memberi jaminan tiada pihak akan terlepas daripada tindakan, termasuk mereka yang berada di kedudukan tertinggi.

Beliau berkata, janji sama pernah dibuat pada Februari lalu susulan pendedahan berhubung skandal saham yang kemudian berkembang kepada isu mafia korporat.

Katanya, sehingga kini hasil siasatan yang dilaksanakan oleh badan siasatan diketuai Peguam Negara itu masih belum didedahkan kepada umum, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai skop dan terma rujukan siasatan yang diumumkan semula pada Oktober lalu.

“Bagaimanapun, sampai hari ini, isu sama belum lagi didedahkan kepada umum mengenai hasil siasatan, walhal jika kita baca dengan teliti pada Februari lalu, badan siasatan yang sama dikepalai Peguam Negara tetapi diumumkan pada minggu lalu, badan siasatan sekali lagi dikepalai Peguam Negara.

“Apa perbezaan skop atau terma rujukan badan siasatan yang diwujudkan pada Februari dengan yang diwujudkan lagi sekali pada Oktober?

“Apa hasil siasatan awal pada Februari? Ini penting supaya kita faham dan tindakan lanjut melalui penggubalan dasar dapat dilakukan.

“Muar tidak berminat berkenaan soal balas dendam, namun ingin tahu bagaimana kesilapan yang lepas tidak akan berulang lagi walaupun ke atas musuh politik paling teruk kita melalui penggubalan dasar,” katanya menurut Harian Metro pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat.

Ketika sidang Dewan Rakyat pada Selasa lalu, Anwar dilaporkan memberi jaminan kerajaan tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terbabit dalam aktiviti mafia korporat.

Perdana Menteri turut memaklumkan laporan lengkap hasil siasatan berhubung kegiatan itu akan didedahkan kepada umum dalam tempoh tiga bulan, manakala Pasukan Petugas Khas yang diketuai Peguam Negara sudah ditubuhkan bagi menyelaraskan siasatan berkenaan.

Dalam pada itu, Syed Saddiq turut membangkitkan isu kewujudan mafia politik yang menurutnya jarang dibincangkan secara terbuka, namun tidak boleh dinafikan kewujudannya.

Beliau mendakwa amalan politik ugut-mengugut sudah berterusan sejak sekian lama, khususnya membabitkan musuh politik setiap kali berlaku pertukaran kerajaan, tanpa mengira siapa yang menjadi Perdana Menteri.

“Apabila tidak ada sokongan, ada pihak yang akan diugut dan pihak yang diugut ini akan alih sokongan. Ini bukan trend politik baharu, ia berjalan berpuluhan tahun.

“Tukar kerajaan, fail (rekod kesalahan) yang sudah lama diperam dihidupkan semula, walaupun kes itu berlaku 10 hingga 20 tahun yang lalu untuk pastikan sokongan politik itu kukuh.

“Jika tidak ada siasatan yang telus, kerisauan saya, tukar satu kerajaan, tukar Perdana Menteri, mafia korporat dan politik ini akan berterusan dan budaya politik mengugut-ugut ini akan diteruskan tidak kira sesiapa pun yang memimpin negara,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat