KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 kali ini memperlihatkan sebanyak 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berdepan pertandingan satu lawan satu.
Pada masa ini, dengan kewujudan banyak parti politik agak sukar untuk melihat pertembungan satu lawan satu dalam sesuatu pilihan raya baik Pilihan Raya Umum, negeri atau Pilihan Raya Kecil.
Kesemua 11 kerusi berkenaan ialah N.02 Tanjung Bidara, N.04 Lendu, N.13 Durian Tunggal, N.14 Asahan, N.21 Duyong, N.27 Merlimau, N.03 Ayer Limau, N.05 Taboh Naning, N.18 Ayer Molek, N.25 Rim dan N.26 Serkam.
Sudah pasti kerusi yang ditandingi oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mewakili Barisan Nasional (BN) di Merlimau menjadi antara tumpuan kerana beliau bertemu dengan calon Pakatan Harapan (PH) iaitu Mohd Yunazri Mustamiri.
Tumpuan terarah di pertandingan kerusi ini kerana ia ialah kerusi yang melibatkan calon iaitu Ketua Menteri yang pasti berhabisan mempertahankan kerusi beliau dan Ab Rauf juga adalah Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Melaka.
Pada PRN 2021, Ab Rauf menang tipis dengan majoriti 364 undi dalam saingan tiga penjuru.
Kerusi seterusnya jadi tumpuan ialah N.27 Merlimau yang memperlihatkan pertandingan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Muhamad Akmal Saleh yang akan bertemu dengan calon PH Rahayu Hamzah.
Kerusi N.25 Rim juga jadi tumpuan apabila ia melibatkan pertandingan dua orang tokoh wanita. Calon BN Datuk Khaidhirah Abu Zahar atau dikenali sebagai Dira ialah penyandang kerusi dan merupakan tokoh pemimpin muda wanita UMNO yang cukup dikenali.
Calon lawan, Esma ialah Ketua Wanita PKR Jasin. Pertarungan satu lawan satu ini akan melihat kesungguhan jentera wanita dalam menjalani tempoh kempen menjelang hari mengundi pada 14 November nanti.
Bagi kerusi N.21 calon BN Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem yang cukup popular di media sosial kerana pendekatan penyelesaian isu rakyat yang pantas juga menjadi tumpuan pemerhati dan orang ramai berdepan cabaran calon PH dari DAP Poo Long Suan.
Kerusi DUN Duyong merupakan satu kerusi dalam kawasan bandar dengan komposisi pengundi campuran yang unik dan dinamik.
PRN Melaka kali ini membariskan 11 kerusi pertandingan satu lawan satu, 11 kerusi juga tiga penjuru dan baki enam kerusi menyaksikan pertandingan 4 penjuru.



