KUALA LUMPUR — Platform kecerdasan buatan (AI) tempatan, LAWYes, dibangunkan bagi membantu pengamal guaman menjalankan penyelidikan undang-undang, menyediakan draf dokumen dan mengurus bahan berkaitan sesuatu kes dalam ruang kerja bersepadu.
Platform itu dibangunkan oleh Prof. Madya Dr Shahrul Mizan Ismail daripada Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), bersama YF Associates Sdn. Bhd., syarikat pemula dalam ekosistem PEMULA@UKM.
Menurut kenyataan media LAWYes, platform berkenaan memberikan tumpuan kepada kerja persediaan di sebalik fail guaman yang memerlukan peguam memahami hubungan antara dokumen, fakta dan persoalan undang-undang sebelum mengambil tindakan.
Sebagai contoh, dalam pertikaian bayaran, jumlah tertunggak pada invois perlu diteliti bersama kandungan perjanjian, bukti kerja yang dilaksanakan serta komunikasi antara pihak terlibat sebelum surat tuntutan disediakan.
Dokumen tambahan atau e-mel mengenai persetujuan baharu pula boleh mengubah pemahaman terhadap fakta, sekali gus memerlukan analisis dan draf disemak semula.
Sehubungan itu, LAWYes mengetengahkan penggunaan AI berasaskan konteks sesuatu urusan guaman, melangkaui pendekatan mendapatkan satu jawapan bagi satu soalan.
Antara fungsi yang ditawarkan ialah *Search Law & Cases* untuk bantuan penyelidikan undang-undang dan kes, *Draft Document* bagi penyediaan draf serta *Matter Workspace* yang menyediakan ruang kerja berasaskan kes.
Pengguna yang mendaftar masuk turut boleh mengakses urusan terdahulu, dokumen yang disimpan dan perbualan bersambung.
Bagaimanapun, kenyataan itu menegaskan bahawa hasil penyelidikan dan draf awal yang disediakan dengan bantuan AI tetap memerlukan semakan profesional sebelum digunakan.
Pendekatan tersebut membolehkan pengamal guaman menilai kegunaan AI melalui tugasan tertentu, dengan menentukan bahan yang diperlukan dan meneliti hasilnya berdasarkan konteks kes.
LAWYes diluncurkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kula Segaran, pada 27 Oktober lalu di Auditorium Memorial Tunku Abdul Rahman, di sini.
Maklumat lanjut mengenai platform berkenaan boleh diperoleh melalui laman sesawang https://mylegalpracticeai.life/.



