AYER KEROH – Dalam kemeriahan berkempen Pilihanraya Negeri Melaka (PRN Melaka), isu-isu projek terbengkalai kembali menjadi perhatian khususnya beberapa projek pembangunan berprofil tinggi yang tersadai dan gagal mencapai matlamat asal, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan perancangan serta pengurusan dana awam di bawah pentadbiran kerajaan negeri memerintah.
Antara projek yang “sakit” ialah Monorel Melaka, Melaka Gateway, pembangunan di bawah Zon Pembangunan Ekonomi Persisiran Pantai Melaka (M-WEZ), Kompleks Sukan Mini Bemban, Jambatan Melaka-Indonesia, Arab City dan Planetarium Melaka.
Kesemua projek berkenaan melibatkan perancangan pembangunan bernilai besar, namun sebahagiannya tak kunjung selesai meskipun telah dilancarkan sejak bertahun-tahun lalu.
Monorel Melaka yang dibangunkan dengan kos RM16.5 juta misalnya, masih menjadi persoalan selepas kontrak operator ditamatkan pada 2021.

Pada Mei 2023, kerajaan negeri menyatakan hasrat untuk menghidupkan semula perkhidmatan itu. Kemudian pada November 2024 pentadbiran kerajaan negeri mengemukakan cadangan menukar trek monorel kepada laluan pejalan kaki.
November 2026 Pakatan Harapan (PH) membangkitkan semula isu ini dan mencadangkan penilaian menyeluruh terhadap masa depan projek.
Sementara itu, Melaka Gateway yang dilancarkan pada 2014 dengan nilai pembangunan dianggarkan RM43 bilion turut menjadi antara projek mega yang dipersoalkan. Perjanjian pembangunan berkenaan pernah dibatalkan pada 2020 selepas pemaju didakwa gagal memenuhi jadual pelaksanaan.

Di bawah perancangan M-WEZ pula, tujuh komponen pembangunan mewujudkan persoalan berasas, termasuk menara ikonik setinggi 200 meter, pintu gerbang Selamat Datang, 22 jambatan bernilai RM216 juta, M-WEZ Sky Wheel, chalet atas air, pejabat dan kondominium mewah serta terusan air berkonsepkan Venice.

Cadangan pembangunan berskala besar itu sebelum ini pernah dipersoalkan di parlimen oleh Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong pada 26 Mei 2022.
Di Jasin, Kompleks Sukan Mini Bemban bernilai RM10.37 juta yang mula dibina pada 2021 dan dijadualkan siap pada 2024 turut disenaraikan sebagai projek bermasalah apabila pembinaannya gagal disempurnakan mengikut jadual.

Turut menjadi perhatian ialah cadangan pembinaan Jambatan Melaka-Indonesia sepanjang kira-kira 48 hingga 49 kilometer ke Dumai, Indonesia. Pada Disember 2025, Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh menyatakan kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM500,000 kepada syarikat perunding untuk kajian awal.

Dalam sektor pembangunan komersial, Arab City Melaka yang dilancarkan pada 2009 dengan nilai pembangunan sekitar RM1.2 bilion dan disasarkan siap pada 2012 turut dikaitkan dengan projek terbengkalai.

Pembangunan itu dilaporkan gagal disempurnakan mengikut perancangan asal, manakala dakwaan mengenai RM250 juta yang telah dibelanjakan menimbulkan persoalan mengenai kedudukan kewangan serta aset projek tersebut.
Pada 2 November 2026, Adly Zahari membangkitkan isu berkenaan projek Arab City Melaka.
Planetarium Melaka pula berdepan isu kerosakan struktur, termasuk insiden runtuh dan kebakaran, sehingga bangunan berkenaan dilaporkan tidak lagi selamat untuk digunakan sebagai kemudahan asal.

Projek bernilai RM20 juta itu turut dikaitkan dengan suntikan dana talangan berjumlah RM942,916 daripada Perbadanan Ketua Menteri pada tahun 2012 dan 2013.
Ketika kemeriahan berkempen, isu-isu ini menjadi persoalan-persoalan yang dibangkitkan oleh rakyat Melaka sendiri.
Apakah Melaka bandaraya bersejarah atau bandaraya dengan projek-projek terbengkalai ?.



