Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) menyambut baik inisiatif Universiti Malaysia Kelantan (UMK) untuk menjalin kerjasama melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua institusi.
Majlis pemeteraian MoU ini berlangsung pada di Auditorium, Balai Seni Negara, dekat sini baru-baru ini.
Dokumen MoU tersebut ditandatangani oleh Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Ts. Dr. Arham Abdullah; dan Ketua Pengarah LPSVN, Amerrudin Ahmad, disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMK, Prof. Dr. Huzili Hussin; dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) LPSVN, Alizam Hasan.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) LPSVN, Rohana Mohd Yusof; Dekan Fakulti Teknologi Kreatif & Warisan UMK, Prof. Madya Dr. Raja Iskandar Raja Halid, serta barisan pensyarah dan pegawai kanan LPSVN.
LPSVN dalam kenyataan berkata, kerjasama ini membuka ruang kepada kedua-dua institusi untuk meneroka potensi kerjasama berdasarkan bidang kepakaran dan peranan masing-masing, khususnya dalam bidang seni visual, pendidikan serta perkongsian ilmu dan kepakaran.
“LPSVN mengalu-alukan inisiatif UMK ini sebagai peluang untuk kedua-dua institusi mengenal pasti bentuk kerjasama yang bersesuaian dengan kepakaran masing-masing.
“MoU ini diharap dapat menjadi asas kepada hubungan kerjasama yang berterusan serta membuka peluang kepada pelaksanaan aktiviti bersama yang memberikan manfaat kepada kedua-dua institusi dan bidang seni visual negara, ”kata kenyataan itu. – SUARA.TV



