KUALA LUMPUR – Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyindir pihak tertentu yang didakwanya menggerakkan serangan di media sosial selepas beliau tampil menjelaskan peningkatan hampir tiga kali ganda peruntukan pembangunan jalan luar bandar, khususnya di Sabah dan Sarawak.
Menerusi satu video pendek yang dimuat naik di media sosial, Tengku Zafrul secara sinis mempersoalkan sama ada terdapat parti politik Malaysia yang sudah membuka cawangan baharu di Vietnam.
“Ada orang terasa ke?
“Lepas saya buat video penjelasan tentang peruntukan jalan luar bandar yang meningkat hampir tiga kali ganda, tiba-tiba ramai ya cybertrooper Vietnam serang Facebook saya.
“Hai, ada parti buka cawangan baharu kat Vietnam ke?” sindir beliau.
Walaupun tidak menamakan mana-mana parti politik, sindiran tersebut dipercayai mempunyai kaitan dengan kontroversi yang tercetus selepas Tengku Zafrul tampil menjawab dakwaan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berhubung pembatalan projek pembangunan luar bandar.
Sebelum ini, SuaraTV melaporkan Ahmad Zahid ketika berucap di Dewan Rakyat pada 26 Oktober lalu mendakwa terdapat projek pembangunan bagi tahun 2026 yang diarahkan supaya dibatalkan walaupun peruntukan telah tersedia.
Beliau turut melahirkan rasa kecewa kerana tindakan tersebut didakwanya menjejaskan penduduk luar bandar, khususnya di Sabah dan Sarawak.
Bagaimanapun, Tengku Zafrul menerusi video penjelasannya pada 30 Oktober lalu menegaskan bahawa Kementerian Kewangan (MOF) tidak pernah mengeluarkan arahan membatalkan projek pembangunan jalan luar bandar seperti yang didakwa.
Sebaliknya, beliau menjelaskan bahawa penangguhan kontrak baharu dibuat bagi mengelakkan tunggakan bayaran kepada kontraktor terus meningkat berikutan komitmen perbelanjaan yang melebihi peruntukan asal diluluskan Parlimen.
Menurutnya, perbelanjaan pembangunan jalan luar bandar bagi tempoh lima tahun dari 2018 hingga 2022 hanya berjumlah RM3.7 bilion, berbanding RM11 bilion bagi tempoh 2023 hingga 2027.
Peningkatan hampir tiga kali ganda itu, katanya, membuktikan kerajaan tidak pernah meminggirkan pembangunan luar bandar, khususnya di Sabah dan Sarawak.
Malah, perbelanjaan sebenar pembangunan jalan luar bandar di kedua-dua negeri berkenaan pada 2026 mencecah RM1.41 bilion, iaitu jumlah tertinggi dalam tempoh 10 tahun.
Beliau turut mendedahkan bahawa sejak 2023, kerajaan telah membelanjakan RM4.6 bilion bagi pembangunan jalan luar bandar, manakala kira-kira separuh daripada keseluruhan perbelanjaan tahunan disalurkan kepada Sabah dan Sarawak.
Tengku Zafrul juga menjelaskan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Menteri Kewangan telah meluluskan perbelanjaan tambahan RM500 juta bagi tahun 2026 melalui penjimatan peruntukan pembangunan kementerian lain untuk membantu menjelaskan tunggakan bayaran kepada kontraktor.
Penjelasan tersebut secara tidak langsung menyangkal gambaran bahawa kerajaan sengaja mengurangkan peruntukan atau membatalkan projek pembangunan di Sabah dan Sarawak.
Bagaimanapun, penjelasan berasaskan angka perbelanjaan itu nampaknya mengundang reaksi kurang senang pihak tertentu sehingga Tengku Zafrul mendakwa akaun Facebook beliau menjadi sasaran serangan cybertrooper dari Vietnam.
Sindiran terbaharu beliau mengenai pembukaan cawangan parti di Vietnam dilihat sebagai satu lagi episod dalam pertikaian politik berhubung pengurusan peruntukan pembangunan luar bandar.
Namun, Tengku Zafrul tidak mendedahkan identiti parti politik yang dimaksudkan atau mengemukakan bukti bahawa serangan tersebut mempunyai kaitan dengan mana-mana parti.
Dakwaan mengenai penglibatan cybertrooper dari Vietnam itu juga belum dapat disahkan secara bebas.
Sebelum ini, SuaraTV menerbitkan laporan bertajuk “Zafrul nafi MOF arah batal projek jalan luar bandar Sabah, Sarawak” pada 31 Oktober lalu yang memperincikan penjelasan beliau berhubung isu berkenaan. – SuaraTV



