BUKIT BERUANG – Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Fahmi Fadzil berasa pelik dan mempersoalkan tindakan Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man kerana mempertikaikan langkah 13 Ahli Parlimen yang memeterai Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) dengan Kerajaan Persekutuan pada 29 Oktober lepas.
Menurut beliau, CSA pertama yang pernah dimeterai di Parlimen ialah pada tahun 2021 di bawah pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob iaitu Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik ada melibatkan Tuan Ibrahim malah beliau berada dalam kabinet pada masa itu.
“CSA yang pertama ditandatangai pada 2021 semasa beliau berada dalam kabinet, jadi budaya ini berlaku bermula sewaktu dia (Tuan Ibrahim) dalam kabinet.
“Apa yang dia pertikaikan? Dia yang mulakan, kabinet yang turut dianggotai oleh beliau yang memulakan langkah memeterai CSA dalam kalangan ahli politik,” katanya.
Fahmi bercakap dalam sidang media selepas menghadiri sesi dialog bersama kira-kira 700 mahasiswa baharu Universiti Multimedia (MMU) Melaka di sini, hari ini.
Menurut beliau, langkah menandatangai CSA tidak salah malah ia membina persefahaman dan ia juga mewujudkan satu keadaan yang stabil serta memberi fokus keutamaan kepada rakyat dan reformasi institusi.
“Kalau benda yang baik dihasilkan, kenapa perlu dibantah? kecuali beliau ada rakan-rakan yang ingin menandatangani dan kita tidak halang, sesiapa yang hendak menandatanganinya, silakan,” kata Fahmi.
Sebelum ini, Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) membantah tindakan Kerajaan Persekutuan yang memperkenalkan CSA kepada Ahli Parlimen Pembangkang.
Beliau menyatakan bahawa Ahli Parlimen PN tidak perlu menandatangani CSA kerana sokongan mereka terhadap Belanjawan dan Rang Undang-Undanmg di Parlimen selama ini sudah memadai untuk melancarkan pentadbiran negara.
“Kita tidak boleh jadikan CSA sebagai satu budaya politik baru negara. Ia seolah-olah kita tidak iktiraf pilihan rakyat dan menyemarakkan salah guna kuasa demi untuk mendapatkan sokongan.
“Pandangan saya kerajaan kena sediakan peruntukan kepada semua wakil yang telah dipilih oleh rakyat, ia adalah tanggungjawab terhadap kawasan yang diwakili.
“Bagi saya kalau Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) bertindak secara adil kepada semua ahli Parlimen ia adalah satu bentuk reformasi yang diperjuangkan selama ini,” kata Tuan Ibrahim.



