Pilihan raya bukan ditentukan oleh siapa yang paling yakin membuat ramalan- Fuziah sangkal penganalisis peluang PH tipis di Melaka

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung PKR Datuk Fuziah Salleh menegaskan, pilihan raya bukan ditentukan oleh siapa yang paling yakin membuat ramalan, tetapi siapa yang berjaya meyakinkan rakyat.

Menurut Fuziah, beliau menghormati pandangan penganalisis politik, tetapi beliau berpandangan terlalu awal untuk membuat kesimpulan bahawa peluang PKR dan Pakatan Harapan (PH) di Melaka adalah tipis.

“Pilihan raya bukan pertandingan meramal keputusan. Sejarah politik negara telah berkali-kali membuktikan bahawa percaturan dan ramalan politik tidak semestinya mencerminkan keputusan sebenar rakyat.

“Sejak pengumuman calon, saya sendiri telah turun melawat dan membantu persiapan jentera di kesemua sembilan Bilik Gerakan Utama DUN yang ditandingi PKR.

“Saya melihat sendiri kesungguhan, disiplin dan komitmen jentera yang sedang bekerja keras untuk memastikan setiap kawasan diberikan perhatian sewajarnya,” katanya.

Fuziah menegaskan, PKR tidak turun ke Melaka sekadar untuk melengkapkan jumlah calon atau menjadi pelengkap pertandingan.

“Kita turun untuk bersaing secara serius, menawarkan pilihan kepada rakyat dan berusaha memenangi kepercayaan pengundi.

“PKR juga tampil dengan calon-calon muda yang membawa kesegaran idea, perspektif baharu dan kesediaan untuk mendekati rakyat dengan pendekatan yang lebih dinamik. Inilah nilai ingin diketengahkan parti iaitu calon yang bukan sahaja berani membawa perubahan tetapi mempunyai kredibiliti dan keupayaan untuk bekerja demi kepentingan rakyat.

“Saya percaya perkembangan politik semasa tidak boleh dilihat secara terpilih.

“Rakyat bukan sahaja menilai parti yang bertanding, tetapi turut menilai prestasi, kestabilan dan kemampuan mereka yang mahu diberikan mandat untuk mentadbir.

“Kita sedar cabarannya besar dan tidak pernah menganggap kemenangan itu mudah. Tetapi jangan terlalu cepat menolak kemampuan PKR dan PH untuk mencabar kedudukan sedia ada,” katanya.

Sebelum itu, penganalisis berkata, kerjasama antara PH dan Bersatu berpotensi memperluas akses PH kepada jaringan pengundi Melayu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bulan depan, terutama melalui sokongan pengundi yang masih bersama gabungan itu, selain pengalaman kepemimpinan tempatan dimiliki Bersatu.

Bagaimanapun, mengambil kira perkembangan politik semasa, PH dilihat sukar untuk merampas Melaka daripada Barisan Nasional (BN) atau sekurang-kurangnya untuk menambah jumlah penguasaan kerusi.

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub, berkata PH perlu menang di 15 daripada 28 kerusi dipertandingkan, namun beberapa faktor memberi kelebihan kepada BN menyebabkan peluang PH untuk menambah kerusi atau mengambil alih kerajaan negeri amat sukar.

Ini termasuk prestasi Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, yang juga ‘poster boy’ BN, prestasi beberapa Adun BN dan populariti serta kekuatan akar umbi Umno-BN di Melaka.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat