Kematian Noorizwan diklasifikasikan semula, kini disiasat di bawah Seksyen 331 Kanun Keseksaan

KUALA LUMPUR – Kematian Allahyarham Noorizwan Zulkefly ketika di bawah tahanan dan jagaan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras telah diklasifikasi semula sebagai kes menyebabkan cedera parah dengan sengaja untuk memeras pengakuan.

Perkara itu dinyatakan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata siasatan kes itu kini dijalankan mengikut Seksyen 331 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan dengan sengaja menyebabkan cedera parah untuk mendapatkan pengakuan atau memasksa pemulangan harta benda.

Jika disabitkan kesalahan, pelaku boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan dikenakan denda.

“Keputusan mengklasifikasikan semula kes itu dibuat susulan kenyataan dirakam daripada pakar perunding perubatan forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), yang menjalankan bedah siasat terhadap mangsa.

“Pakar forensik mengesahkan terdapat kecederaan luaran pada beberapa bahagian tubuh si mati, dengan corak kecederaan konsisten dengan trauma akibat hentakan objek tumpul dan bukan kecederaan yang dilakukan sendiri,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan malam tadi.

Menurut beliau, siasatan berhubung kematian Noorizwan pada 1 Oktober kini diambil alih oleh Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) Bukit Aman.

Allahyarham ditahan di IPD Cheras berkaitan beberapa kes yang disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Peruntukan undang-undang berkenaan adalah berkaitan kes dadah, pecah rumah dan pencerobohan dengan niat melakukan kesalahan serta kesalahan mencuri.

Pada 30 September lalu, Noorizwan dirujuk ke HCTM di Cheras untuk mendapatkan rawatan perubatan sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 1.52 pagi, 1 Oktober lalu.

Dalam pada itu, Kumar berkata, laporan penuh bedah siasat bagi menentukan punca kematian belum diperoleh kerana analisis makmal belum selesai.

Beliau berkata, polis sedang menunggu maklumat lanjut daripada pihak hospital.

“Siasatan diteruskan bagi mengenal pasti pegawai dan anggota polis yang terbabit dalam mengendalikan serta menguruskan si mati sepanjang tempoh dia ditahan di IPD Cheras.

“Siasatan akan dijalankan secara menyeluruh dan profesional tanpa sebarang unsur melindungi pihak tertentu, bagi memastikan keadilan jenayah ditegakkan mengikut undang-undang,” katanya dalam kenyataan itu.

Kumar menegaskan polis kekal komited terhadap prinsip ketelusan dan integriti sepanjang siasatan dijalankan.

Beliau berkata, pasukan itu akan memastikan keadilan dilaksanakan secara saksama dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat