Puteri Gunung Ledang The Musical 2026: Legenda lama, cinta dan tujuh syarat yang terus hidup di pentas

Sejak dahulu, masyarakat Melayu cukup kaya dengan cerita legenda yang diwariskan dari satu generasi kepada generasi seterusnya. Kisah-kisah tentang puteri kayangan, wanita berdaulat, kerajaan lama dan cinta yang tidak kesampaian sering menjadi sebahagian daripada cerita sebelum tidur yang disampaikan oleh ibu bapa kepada anak-anak, kemudian diteruskan pula kepada cucu-cicit. Ada yang diceritakan sebagai hiburan, ada juga yang menjadi pengajaran tentang maruah, kesetiaan, keberanian dan harga sebuah pengorbanan.

Antara legenda yang begitu dekat dengan ingatan masyarakat ialah kisah Puteri Gunung Ledang. Nama puteri misteri yang dikaitkan dengan sebuah gunung di negeri Melaka itu bukan sekadar menjadi cerita rakyat, malah sudah sekian lama menempati ruang dalam khazanah sastera dan sejarah Melayu. Kisahnya tentang seorang puteri yang menolak pinangan Sultan Melaka dengan mengemukakan tujuh syarat luar biasa terus mengundang rasa ingin tahu, seolah-olah ada rahsia yang tersimpan di sebalik kabus Gunung Ledang.

Menariknya, legenda ini tidak hanya kekal sebagai cerita yang disampaikan dari mulut ke mulut. Ia turut melalui perjalanan panjang dalam dunia seni, daripada karya sastera kepada layar perak, sebelum akhirnya dihidupkan semula menerusi pementasan teater muzikal berskala besar.

Sebelum generasi hari ini mengenali Puteri Gunung Ledang menerusi pementasan muzikal, kisah tersebut terlebih dahulu pernah diangkat ke layar perak menerusi filem Puteri Gunung Ledang pada 1961, arahan S. Roomai Noor. Kemudian, legenda ini kembali mendapat perhatian menerusi filem Puteri Gunung Ledang arahan Saw Teong Hin pada 2004, yang menampilkan Puan Sri Tiara Jacquelina sebagai Gusti Puteri dan M. Nasir sebagai Hang Tuah.

Filem terbitan Enfiniti Productions itu memberikan nafas sinematik kepada kisah klasik berkenaan, sekali gus memperkenalkan semula legenda tersebut kepada penonton dalam bentuk penceritaan yang lebih moden. Kisah cinta antara Gusti Puteri Retno Dumilah dengan Hang Tuah menjadi nadi utama, di samping konflik antara cinta, kesetiaan kepada pemerintah dan tanggungjawab terhadap kerajaan.

Daripada layar perak, kisah ini kemudiannya melangkah ke pentas teater menerusi Puteri Gunung Ledang The Musical yang mula dipentaskan di Istana Budaya pada Februari 2006. Pementasan itu menggabungkan muzik, nyanyian, tarian, seni persembahan tradisional dan teknologi pentas bagi membawa penonton menyelami dunia Majapahit serta Kesultanan Melaka. Muziknya digubah oleh Dick Lee, manakala naskhahnya dibangunkan oleh Saw Teong Hin, Zahim Albakri dan Adlin Aman Ramlie.

Pementasan tersebut kemudian kembali dengan musim seterusnya pada tahun yang sama, sebelum diteruskan lagi pada 2009. Perjalanan panjang itu membuktikan bahawa kisah Puteri Gunung Ledang mempunyai daya tarikan tersendiri untuk terus dipersembahkan kepada khalayak yang berbeza generasi.

Kini, selepas dua dekad sejak kemunculan muzikal asalnya, legenda yang sama kembali menghiasi pentas menerusi Puteri Gunung Ledang The Musical 2026. Dipersembahkan oleh Enfiniti Productions dari 31 Oktober hingga 15 November 2026 di The Grand Theatre, Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC), Sunway Square, Bandar Sunway, produksi kali ini hadir dengan barisan pelakon baru serta pendekatan persembahan yang membawa semula kisah agung tersebut kepada penonton masa kini.

Puan Sri Tiara Jacquelina kembali menerajui produksi ini sebagai penerbit eksekutif dan pengarah. Bagi sebuah karya yang begitu dekat dengan perjalanan seni beliau, pementasan terbaru ini seakan-akan menjadi pertemuan semula antara sebuah legenda dengan generasi baru yang bakal mewarisi ceritanya.

Antara tarikan utama produksi kali ini ialah barisan pelakonnya yang membawakan watak-watak penting dalam kisah tersebut. Watak Gusti Puteri Retno Dumilah dibawakan oleh Aishah Retno dan Mila Mohsin. Aishah memperlihatkan keupayaan menggabungkan lakonan dan nyanyian dalam menghidupkan watak seorang puteri yang bukan sahaja memiliki keanggunan, tetapi juga pendirian serta keberanian mempertahankan kehendak hatinya.

Mila Mohsin pula memberikan warna tersendiri dalam babak yang dibawakannya, khususnya menerusi persembahan dalam Act Two. Melihat keupayaannya menghayati watak ini, tidak sukar untuk memahami mengapa bakat lakonannya sering dikaitkan dengan ibunya, Tiara Jacquelina, yang sememangnya mempunyai sejarah panjang bersama karya Puteri Gunung Ledang.

Watak Hang Tuah pula dibawakan oleh Aqasha. Sebagai pendekar yang terikat dengan sumpah setia kepada Sultan Melaka, Hang Tuah berdepan konflik antara tanggungjawab dan perasaan. Aqasha perlu membawa dua sisi watak tersebut, iaitu seorang pahlawan yang berwibawa dan seorang lelaki yang menyimpan cinta terhadap wanita yang tidak mungkin dimilikinya dengan mudah.

Mimi Fly turut mencuri perhatian menerusi watak Nenek Kebayan, penjaga Gunung Ledang. Kehadirannya memberikan warna tersendiri kepada pementasan, terutama ketika rombongan Melaka berdepan cabaran dalam perjalanan mendaki gunung. Nadia Aqilah pula membawa watak penjaga Gusti Puteri, manakala Yusof Hashim tampil sebagai Raja Majapahit, Gusti Adipati. Luqman Hafidz pula menggalas watak Raja Melaka atau Sultan Melaka.

Keserasian barisan pelakon ini menjadi antara elemen penting dalam memastikan kisah yang sudah begitu dikenali tidak sekadar diulang, sebaliknya terasa segar apabila dipersembahkan semula. Setiap watak mempunyai peranan dalam membina emosi, ketegangan dan konflik yang menjadi nadi kepada keseluruhan cerita.

Dari sudut visual, pementasan ini turut membawa penonton kembali ke zaman kerajaan Melayu dan Majapahit menerusi busana, latar serta susunan pentas yang membantu membentuk suasana dunia silam. Perincian kostum memberikan gambaran tentang kedudukan dan keperibadian setiap watak, manakala perubahan latar pentas membawa penonton bergerak daripada kemegahan istana Majapahit kepada suasana Melaka dan akhirnya ke Gunung Ledang yang penuh misteri.

Babak Pertama – Majapahit

Cerita berlatarbelakangkan di Majapahit apabila kerajaan itu menerima berita mengenai ancaman peperangan daripada Demak. Dalam keadaan politik yang semakin genting, rombongan dari Melaka tiba dengan alasan mahu mengukuhkan hubungan perdagangan. Namun, pertemuan tersebut membuka ruang kepada satu perkenalan yang bakal mengubah perjalanan hidup Gusti Puteri Retno Dumilah.

Ketika lima orang pahlawan Melaka meninjau kawasan Majapahit, mereka bertemu dengan Gusti Puteri. Pertemuan itu mencetuskan perdebatan yang memperlihatkan kebijaksanaan dan ketegasan sang puteri. Hang Tuah pula tampil dengan jawapan yang penuh adab serta kewibawaan, sekali gus memperlihatkan keperibadiannya sebagai seorang pendekar yang bukan sekadar menguasai ilmu persilatan, tetapi juga tutur bicara.

Dalam suasana malam yang diterangi bulan penuh, hubungan antara Hang Tuah dan Gusti Puteri semakin rapat. Cinta mula berputik antara dua insan yang datang daripada dunia berbeza. Mereka melafazkan janji kasih di bawah bayangan Gunung Ledang, tanpa menyedari bahawa takdir sedang menyediakan ujian yang jauh lebih besar daripada yang mereka sangka.

Keadaan politik kembali menjadi keutamaan apabila ancaman Demak semakin mendesak. Hang Tuah dihantar sebagai utusan untuk berunding demi mencapai perdamaian. Misi itu berjaya, lalu Raja Majapahit menawarkan ganjaran kepada Sultan Melaka. Namun, di sebalik urusan diplomatik tersebut, Sultan Mahmud Shah sebenarnya menyimpan hasrat untuk memperisterikan Gusti Puteri.

Persetujuan Gusti Adipati terhadap pinangan itu menjadi titik perubahan besar dalam kehidupan sang puteri. Tidak sanggup menerima perkahwinan yang tidak diingininya, Gusti Puteri memilih untuk meninggalkan segala kemewahan dan kedudukan diraja. Dia menanggalkan perhiasan serta gelaran kebesarannya sebelum membawa diri belayar ke Melaka untuk mencari Hang Tuah.

Babak kedua –  Melaka

Di sinilah kisah beralih ke Act Two, dengan latar Melaka yang digambarkan sebagai sebuah kerajaan makmur, aman dan menjadi tumpuan pedagang dari pelbagai tempat. Suasana pelabuhan yang sibuk memberikan gambaran tentang kemajuan Melaka sebagai pusat perdagangan, namun ketenangan itu mula terganggu apabila Gusti Adipati mendapat tahu adiknya telah menghilangkan diri.

Kemarahan Gusti Adipati membawanya ke Melaka untuk mencari Gusti Puteri. Setibanya di sana, beliau bertemu Hang Tuah dan menuduh pendekar itu mempermainkan perasaan adiknya. Pertelingkahan antara mereka akhirnya mencetuskan pergelutan sebelum Dato’ Bendahara campur tangan dan membawa rombongan Majapahit masuk ke dalam istana.

Dalam masa yang sama, Hang Tuah mula mengetahui bahawa Gusti Puteri berada di Melaka dan berhasrat untuk menemuinya. Namun, takdir sekali lagi mempermainkan perasaan kedua-duanya apabila Sultan Melaka mengumumkan hasrat untuk menjadikan Gusti Puteri sebagai permaisuri istana.

Hang Tuah kemudiannya mengetuai rombongan meminang ke Gunung Ledang. Perjalanan menuju ke puncak bukanlah sesuatu yang mudah. Rombongan itu berdepan pelbagai cabaran sebelum bertemu Nenek Kebayan, penjaga Gunung Ledang yang dibawakan oleh Mimi Fly. Dengan kebijaksanaan dan pujukan Hang Tuah, Nenek Kebayan akhirnya menunjukkan jalan untuk mereka meneruskan perjalanan.

Apabila tiba di puncak, Gusti Puteri menyambut kedatangan Hang Tuah dengan penuh kegembiraan. Namun, kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila dia mengetahui bahawa lelaki yang dicintainya datang bukan untuk menyambung kembali hubungan mereka, sebaliknya membawa pinangan Sultan Melaka.

Kecewa dengan keadaan itu, Gusti Puteri mengemukakan tujuh syarat yang sukar dipenuhi sebagai jawapan kepada pinangan Sultan. Syarat-syarat tersebut menjadi simbol penolakan seorang wanita yang tidak mahu dipaksa menerima kehidupan yang bukan pilihannya.

Apabila rombongan kembali ke istana dan menyampaikan syarat berkenaan, Sultan Melaka berasa murka. Namun, demi menjaga maruah dan kedudukannya sebagai pemerintah, baginda tetap menerima kesemua syarat tersebut, termasuk satu syarat yang melibatkan hati anakandanya, Raja Muda.

Apabila tiba masanya untuk memenuhi tuntutan itu, Gusti Puteri turun ke istana dan menjelaskan bahawa tujuh syarat tersebut sebenarnya merupakan jalan untuk menolak pinangan Sultan. Namun, pengakuan itu mengundang kemarahan baginda sehingga Gusti Puteri diperintahkan untuk terus berada di istana.

Di sinilah konflik Act Two semakin memuncak. Penonton dibawa menyaksikan pertembungan antara kuasa seorang pemerintah dengan pendirian seorang wanita yang mahu menentukan nasibnya sendiri. Cinta, kesetiaan, maruah dan kuasa menjadi persoalan yang saling bertindih, menjadikan legenda ini lebih daripada sekadar kisah percintaan antara seorang puteri dan pendekar.

Secara keseluruhan, Puteri Gunung Ledang The Musical 2026 mengingatkan kita bahawa sesebuah legenda tidak semestinya perlu kekal dalam bentuk cerita lama untuk terus hidup. Ada kalanya, ia perlu diberikan ruang dan wajah baru agar dapat dirasai oleh generasi yang tidak pernah mendengar kisahnya daripada datuk dan nenek mereka.

Daripada cerita lisan yang diwariskan dari mulut ke mulut, kepada filem yang merakamkan imaginasi di layar perak, kemudian berkembang menjadi sebuah muzikal yang menggabungkan seni lakon, nyanyian dan tarian, perjalanan Puteri Gunung Ledang membuktikan bahawa cerita warisan mempunyai kekuatan untuk merentas zaman.

Pementasan terbaru ini bukan sekadar mengajak penonton mengimbau kisah cinta Hang Tuah dan Gusti Puteri, tetapi turut membuka ruang untuk kita melihat semula persoalan yang masih relevan hingga hari ini: sejauh mana seseorang berhak menentukan jalan hidupnya sendiri, walaupun berdepan kuasa dan tuntutan orang lain?

Akhirnya, mungkin itulah keistimewaan legenda Puteri Gunung Ledang. Walaupun kisahnya sudah berulang kali diceritakan, dipersembahkan dan ditafsirkan semula, misteri sang puteri tetap tidak pernah benar-benar terungkai. Seperti kabus yang menyelubungi puncak gunung, ceritanya terus berlegar dalam ingatan, menunggu generasi seterusnya untuk mendengar, menghayati dan menceritakannya kembali.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat