BERSATU umum lapan calon PRN Melaka, Norhizam Baktee kembali bertanding di Pengkalan Batu

MELAKA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengumumkan lapan calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, termasuk bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee.

Pengumuman itu menyaksikan Norhizam, yang pernah menjadi EXCO Pertanian, Usahawan dan Industri Asas Tani Melaka, kembali menawarkan diri di kerusi Pengkalan Batu yang pernah diwakilinya selama satu penggal.

Selain Norhizam, BERSATU turut mempertaruhkan bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad, di DUN Kelebang.

Mohamad Ali merupakan anak jati Kelebang Besar yang pernah berkhidmat sebagai guru sebelum menceburi sektor pembinaan selama lebih dua dekad.

Beliau juga merupakan Timbalan Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA) dan pernah memegang jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara selama tiga tahun bermula 2021.

Turut dinamakan ialah bekas Timbalan Pengarah Kanan Kementerian Kesihatan Malaysia, Datin Seri Dr Asmah Samat, yang akan bertanding di DUN Pantai Kundor.

Asmah merupakan graduan perubatan Universiti Malaya dan memiliki kelulusan sarjana dalam bidang kesihatan awam. Beliau diwartakan sebagai Pakar Kesihatan Awam pada 2010.

Bagi DUN Sungai Udang, BERSATU mempertaruhkan Mejar (B) Abdullah Mahadi, bekas pegawai Tentera Darat yang berkhidmat selama 26 tahun di 10 Briged Para, Kem Terendak.

Abdullah memiliki Diploma Pengajian Strategik Pertahanan dan Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan dari Universiti Malaya.

Sementara itu, kerusi DUN Lendu akan ditandingi Nazri Ramli, anak jati Masjid Tanah yang mempunyai pengalaman dalam industri pembinaan.

Nazri juga merupakan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Datuk Tambichik Karim selama 13 tahun.

Di DUN Gadek, BERSATU menamakan Mohd Zamri Abu Bakar, yang memiliki Diploma Teknologi Kejuruteraan Mekanikal Industri serta sijil profesional dalam bidang pelaburan, kewangan dan polisi hayat.

Bagi DUN Ayer Keroh pula, parti itu mempertaruhkan Mohd Hamnaim Mohamad, 41, seorang usahawan teknologi maklumat yang berasal dari Kampung Sungai Putat.

Mohd Hamnaim mempunyai latar belakang dalam bidang sistem komputer dan aktif dalam kegiatan kemasyarakatan serta kepimpinan akar umbi.

Manakala di DUN Bemban, BERSATU menamakan Muhammad Rabaie Ab Hamid, 45, graduan perakaunan Universiti Putra Malaysia (UPM) yang turut memiliki diploma analisis pelaburan dari Royal Melbourne Institute of Technology (RMIT).

Muhammad Rabaie pernah berkhidmat di Boustead Holdings dan kini terlibat dalam bidang perundingan projek. Beliau juga merupakan Presiden Persatuan Sejarah Jasin.

*Senarai penuh lapan calon BERSATU bagi PRN Melaka ke-16:*

1. N.04 Lendu – Nazri Ramli
2. N.07 Gadek – Mohd Zamri Abu Bakar
3. N.11 Sungai Udang – Mejar (B) Abdullah Mahadi
4. N.12 Pantai Kundor – Datin Seri Dr Asmah Samat
5. N.14 Kelebang – Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad
6. N.15 Pengkalan Batu – Datuk Norhizam Hassan Baktee
7. N.16 Ayer Keroh – Mohd Hamnaim Mohamad
8. N.24 Bemban – Muhammad Rabaie Ab Hamid

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat