Generasi muda diajak membudayakan wakaf melalui Wakaf MARA MADANI

KUALA LUMPUR – Generasi muda digalakkan membudayakan amalan berwakaf sejak awal usia tanpa perlu menunggu sehingga mempunyai pendapatan besar kerana sumbangan kecil yang dilakukan secara konsisten mampu memberikan manfaat berpanjangan kepada masyarakat.

Amalan berwakaf bukan sahaja menjadi cara berkongsi rezeki, malah berperanan penting dalam pembangunan ummah, khususnya dalam bidang pendidikan, kesihatan, kebajikan dan peningkatan taraf sosioekonomi masyarakat.

Mohamad Syazani Azwar Mohamad Azman, 23, lepasan bidang Pengurusan Digital Universiti Teknologi MARA (UiTM), berkata amalan berwakaf merupakan perbuatan mulia yang perlu dipupuk sejak usia muda.

“Sejak awal lagi, saya diajar supaya memperuntukkan sebahagian kecil daripada pendapatan untuk berwakaf.

“Bagi saya, walaupun jumlahnya tidak besar, sekurang-kurangnya kita dapat menyumbang sesuatu yang bermanfaat kepada masyarakat dan pembangunan ummah,” katanya.

Menurut Syazani, budaya berwakaf wajar dijadikan sebahagian daripada kehidupan, terutama dalam kalangan anak muda yang baru melangkah ke alam pekerjaan.

Katanya, sumbangan kecil yang dilakukan secara berterusan mampu membantu golongan memerlukan, selain menyokong pembangunan masyarakat dalam jangka panjang.

Sementara itu, Muhammad Aizat Mohd Sukri, 23, graduan Media Baharu Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), berkata didikan keluarga sejak kecil mendorongnya menjadikan wakaf sebagai amalan dalam kehidupan seharian.

“Sejak kecil, saya dididik supaya sentiasa membantu orang ramai mengikut kemampuan.

“Melalui Wakaf MARA MADANI, saya sering memberikan sumbangan kerana percaya setiap kebaikan yang dilakukan dengan ikhlas bukan sahaja membantu mereka yang memerlukan, malah diharapkan menjadi bekalan pahala untuk saya pada masa hadapan,” katanya.

Dalam Islam, wakaf merupakan amalan menyerahkan harta atau manfaatnya bagi tujuan kebajikan secara berterusan dan tergolong dalam sedekah jariah yang amat digalakkan.

Berbeza dengan sumbangan biasa, konsep wakaf membolehkan aset atau dana yang diuruskan mengikut prinsip ditetapkan terus menjana manfaat kepada masyarakat.

Kepentingan wakaf semakin mendapat perhatian apabila statistik Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) merekodkan jumlah sumber wakaf tunai di Malaysia mencecah kira-kira RM240 juta pada 2025, meningkat 70.89 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Peningkatan itu mencerminkan potensi besar wakaf sebagai instrumen pembangunan sosial dan ekonomi ummah, khususnya dalam menyediakan kemudahan dan peluang kepada golongan memerlukan.

Seiring perkembangan tersebut, Wakaf MARA MADANI menjadi antara platform yang menyediakan peluang kepada masyarakat untuk menyumbang kepada pembangunan ummah melalui pengurusan dana wakaf yang berstruktur.

Majlis Amanah Rakyat (MARA) dilantik sebagai *Mutawalli* oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi menguruskan dana wakaf berlandaskan prinsip syariah.

Hasil pengembangan dana berkenaan disasarkan untuk dimanfaatkan dalam sektor pendidikan, keusahawanan, kesihatan, kebajikan, pengangkutan dan pembangunan aset wakaf.

Struktur pentadbiran yang jelas serta penerbitan penyata kewangan beraudit turut menjadi asas penting dalam meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap pengurusan dana wakaf.

Justeru, golongan muda diseru supaya menjadikan wakaf sebagai sebahagian daripada budaya berkongsi rezeki mengikut kemampuan masing-masing.

Melalui platform seperti Wakaf MARA MADANI, sumbangan yang kecil berpeluang memberikan manfaat berpanjangan, sekali gus membantu memperkukuh kesejahteraan masyarakat dan pembangunan ummah.

Amalan berwakaf tidak memerlukan seseorang menjadi kaya terlebih dahulu kerana sumbangan kecil yang dilakukan dengan ikhlas dan berterusan mampu membawa perubahan besar kepada kehidupan golongan memerlukan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat