JOHOR BAHRU — Pembukaan sekolah di Johor dilaksanakan secara berfasa dengan fasa pertama pada Isnin dan Selasa ini dihadkan kepada pelajar yang perlu menduduki peperiksaan, mengikut jadual ditetapkan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri Dr Muhammad Naqib Md Ghazali berkata keputusan itu dibuat atas titah Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail yang sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan seluruh Bangsa Johor.
Beliau berkata tempoh itu juga akan memberi ruang kepada pihak pentadbiran sekolah dan para guru dalam melaksanakan persiapan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia serta Ujian Akhir Sesi Akademik.
“Fasa kedua pula bermula pada Rabu dengan semua sekolah di seluruh Johor dijadual beroperasi sepenuhnya seperti biasa, tertakluk kepada perkembangan semasa kualiti udara,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Muhammad Naqib berkata sehubungan dengan itu, Jabatan Pendidikan Negeri Johor akan menyelaras pelaksanaan prosedur operasi standard kesihatan dan keselamatan termasuk pemakaian pelitup muka serta pemantauan aktiviti persekolahan, berdasarkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) semasa.
Beliau berkata pada masa sama, kerajaan negeri bersama dengan agensi berkaitan akan terus memantau perkembangan situasi jerebu secara berterusan bagi memastikan sebarang tindakan dapat dilaksana berdasarkan penilaian keadaan semasa.
Semalam, Kerajaan Negeri Johor memutuskan semua institusi pendidikan akan kembali beroperasi esok setelah mengambil kira perkembangan situasi jerebu dan penilaian agensi berkaitan.
Hanya dua daerah di Johor mencatatkan IPU tidak sihat, iaitu Pasir Gudang dengan bacaan 154 dan Batu Pahat (127) setakat 4 petang tadi. – BERNAMA


