Terima sumbangan orang ramai lebih RM173,000, Akmal minta izin infak agihan kepada orang lebih memerlukan

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh memaklumkan beliau yakin mampu mencukupkan jumlah RM300,000 menjelang minggu depan untuk membayar ganti rugi kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berhubung kes saman fitnah berkaitan pensijilan halal.

Menurut Akmal beliau tekad untuk melunaskan sendiri bayaran denda itu menggunakan wangnya sendiri.

“Alhamdulilah motor X-ADV kesayangan saya telah dapat dijual dengan harga RM150,000 dan jualan keseluruhan ikan tilapia dalam kolam saya telah mengumpul hampir RM 30,000. Menjadikan jumlah keseluruhan jualan kepada RM180,000.

“Pada masa yang sama, dicampur dengan jumlah simpanan saya dan keluarga Insya-Allah boleh mencukupkan kepada RM300,000 menjelang minggu hadapan.

“Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang membantu dan mendoakan,malah selepas saya meminta untuk orang ramai supaya tidak menderma kepada saya,tetap juga ada insan yang berhati mulia memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun saya dan ada juga yang datang sendiri berjumpa dengan saya untuk membantu.

“Saya sangat-sangat berterima kasih dan segala jasa anda tidak mampu saya balas satu persatu dan semua hasil sumbangan yang telah diberikan kepada saya mencecah hampir RM 173 733.61 sehingga kenyataan ini dibuat,” jelas beliau.

Menurut beliau, walaupun ada yang menghina dengan kata-kata kesat dan prasangka jahat mengatakan apa yang beliau buat ini adalah drama untuk memohon derma.

“Tetapi saya ingin memaklumkan seperti kenyataan sebelum ini, saya hanya berniat untuk menjual aset yang saya ada untuk mencukupkan jumlah yang perlu dibayar kerana simpanan saya yang sedia ada tidak mempunyai jumlah yang cukup dan tidak ada langsung niat untuk saya memohon derma selagi saya mampu untuk menanggungnya bersendirian.

“Segala prasangka jahat dan kata-kata kesat yang dilemparkan kepada saya, saya terima dengan hati yang terbuka dan doakan agar Allah melindungi mereka daripada kata-kata dan prasangka jahat yang dilemparkan berbalik kepada diri mereka dan keluarga mereka.

“Sehubungan dengan itu saya ingin meminta izin dari anda semua yang telah memberi sumbangan pada saya untuk saya menginfakkan jumlah keseluruhan yang disumbangkan kepada saya untuk saya agihkan kepada mereka yang lebih memerlukan.

“Setiap sen duit anda yang diberikan kepada saya, akan saya serahkan kepada mereka yang lebih memerlukan.

“Segala perincian setiap sen yang akan diagihkan saya akan maklumkan di dalam media sosial saya. Tiada apa-apa perkataan mampu untuk saya ucapkan atas kebaikan anda semua.

“Insya-Allah izinkan saya menjadi orang tengah untuk menyampaikan setiap sen yang anda sumbangkan kepada saya untuk saya sampaikan kepada mereka yang memerlukan ya dan saya mohon sekali lagi untuk tidak lagi memasukkan duit ke akaun saya agar urusan pengagihan sumbangan anda dapat berjalan dengan lancar.

“Terhutang budi dan nyawa saya atas kebaikan yang anda berikan kepada saya, terima kasih,” ucap Akmal.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat