SINGAPURA – Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, berkata negara itu menjangkakan semua pihak menghormati komitmen kontrak komersial bekalan gas susulan pengumuman Indonesia untuk mengurangkan eksport gas asli ke republik berkenaan.
“Bekalan gas ini tertakluk kepada kontrak komersial. Kami menjangkakan semua pihak akan menghormati komitmen masing-masing, dan pengimport gas Singapura akan mengambil langkah yang perlu untuk melindungi hak serta kepentingannya di bawah kontrak tersebut,” katanya.
Kenyataan itu dibuat selepas Indonesia mula mengurangkan eksport gas asli ke Singapura pada 24 Oktober bagi mengutamakan keperluan bekalan domestik untuk penjanaan elektrik. Menurut pengawal selia sektor huluan minyak dan gas Indonesia, SKK Migas, pengurangan itu melibatkan bekalan sebanyak 31 juta kaki padu gas sehari dari Natuna dan Sumatera.
Bagaimanapun, Penguasa Pasaran Tenaga Singapura (EMA) memaklumkan pengurangan bekalan itu mewakili kurang daripada dua peratus daripada jumlah permintaan gas harian negara berkenaan. EMA turut menyatakan bahawa pelan kontingensi telah tersedia bagi menangani pengurangan bekalan tersebut.
Wong berkata sebahagian besar tenaga elektrik Singapura dijana menggunakan gas asli, manakala sejumlah besar bekalan tersebut diimport melalui saluran paip dari Indonesia.
Menurut beliau, Singapura telah membuat persediaan menghadapi risiko gangguan bekalan dengan melabur dalam terminal gas asli cecair (LNG), yang membolehkannya mengimport gas dari pelbagai negara tanpa bergantung sepenuhnya kepada saluran paip.
Langkah itu memberikan lebih banyak pilihan kepada Singapura untuk menguruskan sebarang gangguan bekalan tenaga pada masa hadapan.
Dalam pada itu, Wong berkata Singapura perlu melihat melangkaui gas asli dengan meneroka sumber tenaga lebih bersih yang mampu membekalkan elektrik secara stabil sepanjang masa.
Beliau berkata kerajaan sedang mengkaji secara serius potensi tenaga nuklear sebagai salah satu pilihan untuk menjamin keselamatan tenaga jangka panjang negara itu.
Mengakui terdapat kebimbangan mengenai keselamatan tenaga nuklear di negara kecil dengan kepadatan penduduk tinggi seperti Singapura, Wong menegaskan bahawa keselamatan akan terus menjadi keutamaan.
Namun, beliau berkata Singapura tidak seharusnya menolak sesuatu pilihan hanya kerana ia sukar atau kontroversi, sebaliknya perlu menilai risiko dan pertukaran kepentingan secara teliti, selain mendapatkan pandangan rakyat sebelum membuat keputusan.
Singapura dijadual menjalani penilaian oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mulai 2027 bagi menilai keupayaannya membuat keputusan bermaklumat mengenai kemungkinan penggunaan tenaga nuklear.


