Takiyuddin belum tarik balik ‘munafik’, Johari dukacita surat didedah kepada media

KUALA LUMPUR – Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul melahirkan rasa dukacita apabila Datuk Seri Takiyuddin Hassan membuat kenyataan kepada media mengenai surat cadangan mediasi sebelum beliau sempat memberikan maklum balas.

Surat bertarikh 22 Oktober itu dikemukakan Ahli Parlimen Kota Bharu berhubung penggunaan perkataan “munafik” yang dikaitkan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membahaskan Belanjawan 2027 pada Isnin lalu.

Menurut Johari, beliau sebelum ini sudah meminta Takiyuddin menarik balik perkataan berkenaan, namun Setiausaha Agung PAS itu sebaliknya mencadangkan proses mediasi tanpa menarik balik perkataan tersebut.

Susulan itu, Johari meminta Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer mengemukakan surat rasmi sekiranya mahu Takiyuddin dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Beliau menjelaskan, sebarang keputusan selepas perkara itu diteliti adalah keputusan jawatankuasa yang dianggotai wakil kedua-dua belah pihak.

Johari berkata demikian pada sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2027 peringkat dasar di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Rayer membangkitkan isu berkenaan mengikut Peraturan Mesyuarat 36(4), yang melarang penggunaan bahasa kurang sopan oleh ahli Dewan.

Rayer menegaskan beliau akur dengan peraturan Dewan dan berpendapat Takiyuddin juga perlu berbuat demikian.

Pada Rabu lalu, Johari memaklumkan beliau sudah meneliti Hansard sebelum memutuskan Takiyuddin perlu menarik balik perkataan berkenaan, sama ada di dalam Dewan Rakyat atau menerusi penjelasan bertulis kepada Yang Dipertua. – SuaraTV/Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat