JAKARTA: Indonesia mempertahankan keputusan mengurangkan eksport gas paip ke Singapura sebanyak 31 BBTUD, dengan Menteri Tenaga dan Sumber Mineral, Bahlil Lahadalia, menegaskan tindakan itu tidak melanggar kontrak jual beli gas antara kedua-dua negara.
Bahlil berkata, pengurangan tersebut hanya melibatkan kira-kira lapan peratus daripada keseluruhan eksport gas Indonesia ke Singapura, yang dianggarkan sekitar 409 juta kaki padu standard sehari (MMSCFD).
Menurutnya, pengurangan bekalan yang bermula pada 24 Oktober lalu melibatkan 15 BBTUD dari Natuna dan 16 BBTUD dari Sumatera.
Beliau mendakwa kontrak bekalan gas antara kedua-dua negara membenarkan pengurangan antara 91 hingga 92 BBTUD, sekali gus menyifatkan pemotongan sebanyak 31 BBTUD itu masih berada dalam had yang dipersetujui.
“Sebanyak 31 BBTUD yang kita potong itu masih dalam batas kontrak minimum. Itu baru gas paip dan belum gas LNG yang kita hantar,” katanya pada sidang media di pejabat Kementerian ESDM di Jakarta, Isnin.
Bahlil turut menjelaskan bahawa Indonesia masih membekalkan gas asli cecair (LNG) kepada Singapura, dengan jumlah penghantaran yang dinyatakan sekitar 146 kargo.
Beliau berkata, keputusan mengurangkan eksport dibuat susulan bekalan gas untuk kegunaan domestik yang semakin terhad, apabila beberapa telaga yang membekalkan gas kepada sektor industri dan sistem penjanaan elektrik mengalami kemerosotan pengeluaran.
“Jadi saya mengutamakan kepentingan dalam negeri, untuk bekalan PLN dan industri,” katanya.
Bagaimanapun, pihak berkuasa Singapura memberikan gambaran berbeza mengenai kesan pengurangan bekalan itu.
Pihak Berkuasa Pasaran Tenaga Singapura (EMA) menyatakan pengurangan sebanyak 31 BBTUD tersebut bersamaan kurang daripada dua peratus daripada keperluan gas harian negara itu, yang melebihi 1,000 BBTUD.
Menteri Tenaga, Perdagangan dan Industri Singapura, Tan See Leng, pula berkata Gas Supply Private Limited (GSPL), pengimport gas milik Temasek, akan meneliti tindakan undang-undang atau pilihan lain yang tersedia di bawah kontrak jual beli berkenaan.
Tan menegaskan bahawa pematuhan kontrak merupakan asas penting dalam membina reputasi dan kepercayaan dalam urusan komersial.
Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, turut menekankan kepentingan semua pihak memenuhi komitmen masing-masing, sambil menyatakan pengimport gas Singapura akan mengambil langkah yang diperlukan untuk melindungi hak serta kepentingannya di bawah kontrak tersebut.
Pertikaian itu menyaksikan Jakarta mempertahankan langkah mengutamakan keperluan tenaga domestik, manakala Singapura menegaskan kepentingan pematuhan terhadap komitmen bekalan gas yang telah dipersetujui



