Tindakan pemimpin MCA meninggalkan majlis pengumuman calon Barisan Nasional (BN) Melaka Sabtu lalu merupakan peristiwa memalukan yang mencalarkan kewibawaan kepimpinan gabungan itu.
MCA ialah sebuah parti pengasas BN. Apabila presidennya sendiri mengetuai tindakan keluar daripada majlis yang sepatutnya memperlihatkan kesepaduan gabungan, mesejnya cukup keras: ada keputusan kepimpinan yang tidak lagi boleh diterima secara senyap.
Sama ada bertujuan memalukan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ataupun menyatakan bantahan terhadap pembahagian kerusi, kesan politiknya tetap sama. Retakan dalam BN dipertontonkan ketika gabungan itu mahu meyakinkan pengundi bahawa mereka bersedia memimpin Melaka sekali lagi.
Selagi Ahmad Zahid tidak memberikan isyarat jelas mengenai hala tuju BN menjelang pilihan raya umum akan datang, ruang untuk prasangka dan ketidakpercayaan terus terbuka. Komponen BN tentunya mahu mengetahui kedudukan mereka sebelum kerjasama dengan pihak luar dimuktamadkan.
Namun, pendekatan Ahmad Zahid bukanlah terlalu sukar difahami. Beliau kelihatan sedang membeli masa dan ruang, merundingkan kerjasama mengikut pilihan raya dan keadaan negeri, bukannya mengikat satu persetujuan menyeluruh untuk seluruh negara.
Dalam jangka pendek, pendekatan itu mempunyai kelebihan. BN tidak perlu menyelesaikan semua pertikaian serentak. Persoalan sukar di sesebuah negeri boleh ditangguhkan sementara persetujuan dicapai di negeri lain.
Kemenangan BN di Johor dan Negeri Sembilan memberikan modal politik kepada pendekatan tersebut. Melaka pula menjadi ujian seterusnya, dengan harapan persefahaman bersama PAS dan rakan strategiknya dapat membantu BN kembali membentuk kerajaan dengan majoriti besar.
Tetapi kemenangan pilihan raya negeri belum tentu menyelesaikan masalah pembahagian kuasa menjelang pilihan raya umum. Ada pertikaian yang hanya ditangguhkan, bukannya ditamatkan.
Selepas Melaka, kemungkinan pilihan raya lebih awal di Pahang juga tidak boleh diketepikan, walaupun ia masih suatu kemungkinan politik.
Di Pahang, keputusan pilihan raya negeri 2022 memberikan BN dan PN masing-masing 17 kerusi DUN, manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh lapan kerusi. BN kemudian membentuk kerajaan bersama PH. Jika BN dan PN bekerjasama sebelum pilihan raya akan datang, siapa yang akan mengetuai kerajaan?
Persoalan itu tidak boleh diselesaikan dengan sekadar mengatakan semua pihak mahukan penyatuan. PN Pahang sendiri telah mengumumkan sasaran 26 kerusi DUN dan 10 kerusi Parlimen bagi merealisasikan gagasan “PN Teraju Pahang”. Ertinya, PN mempunyai cita-cita untuk memimpin negeri, bukan sekadar membantu BN mempertahankan pentadbiran.
Adakah BN bersedia menerima kemungkinan kerjasama yang membantu kemenangan bersama akhirnya menamatkan kedudukannya sebagai peneraju Pahang?
Di sinilah perbezaan antara memperoleh majoriti gabungan dengan mengekalkan kuasa parti perlu difahami. Kerusi yang dimenangi bersama tidak semestinya memberikan kekuatan yang sama kepada setiap rakan.
Bantahan MCA di Melaka memperlihatkan harga awal yang mula dituntut daripada kerjasama tersebut. Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mendakwa kerusi yang sebelumnya ditandingi MCA diperuntukkan kepada pihak lain tanpa rundingan sewajarnya.
Jika ruang untuk rakan baharu disediakan dengan mengecilkan bahagian komponen lama, UMNO tidak boleh terkejut apabila timbul tentangan.
BN bukan UMNO seorang. MCA dan MIC juga mempunyai ahli, jentera serta masa depan yang perlu dipertahankan. Mereka tidak boleh terus diminta memahami keperluan UMNO, sedangkan kepentingan mereka sendiri dianggap boleh diselesaikan kemudian.
Lebih rumit apabila UMNO sendiri dilihat keberatan bertolak ansur terhadap tuntutan pihak lain.
Presiden Wawasan, Datuk Seri Hamzah Zainudin mempertahankan tuntutan terhadap Sungai Udang dan Bemban dengan menggunakan prinsip yang sama seperti UMNO: hak mempertahankan kerusi menang. Beliau turut membuka ruang perbincangan mengenai kerusi pengganti yang sesuai.
UMNO tidak boleh menjadikan prinsip kerusi menang sebagai benteng untuk dirinya, kemudian mengetepikan prinsip itu apabila digunakan oleh rakan rundingan.
Pertikaian ini akan menjadi jauh lebih besar apabila rundingan memasuki kerusi Parlimen.
Bersatu memenangi 31 kerusi Parlimen pada PRU15. Tidak semuanya kawasan tradisi UMNO, tetapi jumlah itu memperlihatkan besarnya kelompok kerusi yang berpotensi menjadi medan tuntutan bertindih.
Di Kelantan sahaja, BN memenangi Machang, Ketereh, Jeli, Tanah Merah dan Gua Musang pada PRU14. Jeli dan Tanah Merah kemudian beralih kepada Bersatu melalui penghijrahan penyandang, sementara Machang dan Gua Musang dimenangi calon Bersatu–PN pada PRU15.
UMNO tentunya mahu membina semula kekuatan di kawasan tersebut. Namun, pemimpin dan penyandang daripada lingkungan Bersatu, termasuk yang kini bersama Wawasan, juga mempunyai tuntutan sendiri.
Maka persoalannya bukan sekadar berapa kerusi perlu diberikan kepada PAS. UMNO turut berdepan perebutan kawasan dengan sebuah parti yang lahir daripada perpecahannya sendiri, serta serpihan baharu daripada parti tersebut.
Jika semua mahu mempertahankan kawasan masing-masing, di mana ruang untuk UMNO berkembang semula?
Lihat pula Perak. Pada pilihan raya negeri 2022, PN memenangi 26 kerusi, PH 24 dan BN hanya sembilan, daripada keseluruhan 59 kerusi DUN. BN kemudian membentuk kerajaan bersama PH, dengan jawatan Menteri Besar kekal kepada UMNO.
Ini membuktikan kerjasama selepas pilihan raya boleh memberikan ruang rundingan kepada BN walaupun jumlah kerusinya kecil.
Sebaliknya, jika kerjasama awal dengan PN dibina atas prinsip mengekalkan kerusi menang, PN bermula dengan 26 kawasan berbanding sembilan milik BN. Tanpa rundingan semula yang besar, bagaimana BN mahu meningkatkan kekuatan dan mempertahankan kedudukannya sebagai peneraju negeri?
Jawatan Menteri Besar mungkin masih boleh dirundingkan. Namun, ia tidak boleh dianggap hak kekal UMNO apabila rakan gabungannya mempunyai lebih banyak kerusi.
Di Perlis, masalahnya lebih ketara. PN memenangi 14 daripada 15 kerusi pada pilihan raya negeri 2022, PH satu, manakala BN gagal memperoleh sebarang kerusi. Jika hak penyandang dibekukan sebagai asas kerjasama, dari mana BN hendak mendapatkan ruang untuk kembali mengetuai Perlis? Sedangkan Perlis adalah negeri tradisi BN yang sangat tidak ‘favour’ PAS dari segi aliran politik mahu pun agama. PAS hanya menang kerana dokongan Bersatu yang kini telah berpecah.
Menyertai kerajaan mungkin boleh dirundingkan. Mengambil alih kepimpinan kerajaan memerlukan kekuatan yang jauh lebih besar.
Di Kedah, Kelantan dan Terengganu, keputusan PRN 2023 turut menunjukkan betapa sempitnya ruang BN jika semua kemenangan PN mesti dipertahankan: PN memperoleh 33 daripada 36 kerusi di Kedah, 43 daripada 45 di Kelantan dan kesemua 32 kerusi di Terengganu.
Sebab itulah amaran bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman supaya UMNO Terengganu tidak menjadi korban demi kepentingan negeri lain mempunyai asas. Beliau sendiri membangkitkan risiko jika PAS mengekalkan semua kerusi menang sebagai syarat rundingan.
Pilihan solo mungkin yang terbaik untuk BN. Bertanding sebagai sebuah gabungan dengan komponennya sendiri memberikan peluang kepada BN mempertahankan kawasan, merebut semula kerusi yang hilang dan mengukur kekuatan sebenar.
Selepas keputusan diketahui, barulah kerjasama dengan PN atau pihak lain dipertimbangkan berdasarkan mandat pengundi dan persetujuan dasar.
Risiko perpecahan undi memang ada. Bertanding solo juga tidak menjamin kemenangan. Namun, kerjasama awal yang terlalu mengehadkan kawasan bertanding boleh menyekat pemulihan BN sebelum pengundi sempat membuat pilihan, malah boleh membawa sabotaj yang menguntungkan pihak lawan.
Jika UMNO mahu bangkit, parti itu perlu bersedia menuntut mandat semula. Jika mahu berkongsi kerusi pula, ia mesti bersedia beralah secara timbal balik. BN perlu berhati-hati agar keghairahan mencari rakan kerajaan tidak menyebabkan gabungan itu menyerahkan ruang untuk kembali menjadi peneraju.



