Polis Indonesia namakan 11 syarikat sebagai suspek bakar hutan dan tanah

KUALA LUMPUR – Polis Indonesia menamakan 11 syarikat sebagai suspek dalam siasatan berhubung kebakaran hutan dan tanah yang masih berjalan, dengan tiga daripadanya adalah syarikat yang menerima pelaburan asing, menurut agensi berita negara, Antara.

Ketua Polis Negara Indonesia Jeneral Suyudi Ario Seto, enggan mendedahkan nama syarikat terbabit, namun berkata siasatan berjalan tanpa halangan besar.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat penuh Kabinet di kompleks Istana Presiden di Jakarta, pada Rabu.

Katanya, pihak yang perlu bertanggungjawab bukan hanya entiti korporat terbabit.

Ini termasuk pemilik syarikat dan pemegang saham yang bertanggungjawab terhadap syarikat yang dikaitkan dengan kebakaran hutan dan tanah di Indonesia, katanya.

Laporan itu menyebut prosiding jenayah berkenaan susulan pengumuman terdahulu Badan Penyiasatan Jenayah (Bareskrim) bahawa 98 laporan polis berkaitan kebakaran hutan yang dikaitkan dengan syarikat dinaikkan ke peringkat siasatan rasmi.

Selain siasatan polis, Kementerian Perhutanan turut mempergiat tindakan penguatkuasaan pentadbiran, lapor Bernama di Jakarta.

Menteri Perhutanan, Raja Juli Antoni, berkata permit enam lagi syarikat di Kalimantan Tengah digantung, menjadikan jumlah syarikat perhutanan yang dikenakan tindakan sebanyak 32, menurut laporan itu.

Enam syarikat berkenaan digantung Permit Usaha Pemanfaatan Hutan (PBPH) dan diarahkan melaksanakan pemulihan alam sekitar di kawasan terjejas.

Syarikat terbabit ialah PT Produk Kalimantan Jaya, PT Taiyong Engreen, PT Hutan Produk Lestari, PT Ramang Agro Lestari, PT Puspa Warna Cemerlang dan PT Sinergi Hutan Sejati.

Secara keseluruhan, enam syarikat itu memegang konsesi seluas 201,391 hektar, dengan 7,531 hektar daripadanya terjejas akibat kebakaran baru-baru ini.

Tindakan pentadbiran kementerian kini meliputi 32 syarikat yang menguruskan konsesi melebihi 1.9 juta hektar, termasuk kawasan seluas 18,489 hektar yang terjejas akibat kebakaran.

Raja Juli memberi amaran bahawa syarikat terbabit juga boleh berdepan prosiding jenayah berasingan sekiranya siasatan menemukan bukti salah laku yang disengajakan atau niat melakukan jenayah.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat