KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyambut baik langkah kerajaan melarang penjawat awam untuk menggunakan aplikasi tunjuk arah ‘Waze’ untuk tugasan rasmi kerana operasi aplikasi berkenaan berpangkalan di Israel.
Ketua Aktivisnya Datuk Nadzim Johan berkata langkah berkenaan adalah tepat kerana kerajaan perlu menolak daripada menggunakan apa sahaja produk atau aplikasi yang boleh menjejaskan keselamatan negara dan juga keselamatan rakyat.
Beliau juga dengan baik menyambut keputusan kerajaan untuk menggalakkan orang ramai menggunakan aplikasi Tuju yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
“Sepatutnya ini langkah yang diambil oleh kerajaan untuk tolak penggunaan aplikasi atau produk yang ada risiko besar membahayakan negara dan rakyat apatah lagi diketahui operasi Waze sebenarnya dikuasai oleh undang-undang Israel.
“Langkah kerajaan untuk menggalakkan orang ramai menggunakan aplikasi tempatan juga tepat kerana kita perlu mengutamakan produk yang dibangunkan di negara ini sebelum menggunakan produk atau aplikasi dari pihak lain,” katanya ketika dihubungi Suara TV hari ini.
Mengulas lanjut berkenaan respon orang ramai tentang kekurangan aplikasi Tuju yang tular, Nadzim berkata itu adalah normal bagi sesuatu produk atau aplikasi yang kurang popular tetapi tiba-tiba dicari apabila diperlukan.
Beliau berkata keadaan itu akan membuka ruang yang luas kepada penyedia aplikasi untuk memperbaiki dan meningkatkan kualiti perkhidmatan yang disediakan kepada orang ramai.
“Mereka boleh meletakkan seorang petugas untuk memantau komen pengguna aplkasi berkenaan untuk mengenal pasti masalah yang ada serta keperluan utama pengguna kemudian memperbaiki apa yang mereka berikan kepada pengguna,’ kata beliau.
Semalam, media melaporkan kerajaan melarang penjawat awam menggunakan aplikasi Waze berkuatkuasa serta-merta.
Arahan itu dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar pada tarikh 20 Oktober susulan mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) Bilangan 3 Tahun 2026 yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.



