KUALA LUMPUR – Kerajaan masih menanggung beban hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang perlu dibayar termasuk kadar faedah, meskipun bayaran hutang lama terus dilunaskan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dakwaan bahawa keseluruhan hutang 1MDB sudah dibayar adalah tidak tepat kerana kerajaan masih perlu memenuhi komitmen pembayaran berkenaan.
Anwar berkata, pembayaran hutang lama perlu diteruskan meskipun kerajaan berusaha mengawal pinjaman baharu dan mengurangkan beban hutang negara menerusi pengurusan fiskal yang lebih berdisiplin.
“Saya lihat beberapa pandangan orang menyatakan jumlah hutang keseluruhannya bertambah, betul, kerana hutang lama harus dibayar.
“Ada menyatakan hutang 1MDB dah bayar semua, saya tak tahu daripada mana kitab dia baca, tak betul. Tapi hutang kita dengan jumlah kadar faedahnya itu harus dibayar,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan, menurut Utusan di Putrajaya pada Isnin.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan yang bertanggungjawab perlu memastikan pinjaman baharu dibuat berdasarkan keperluan sebenar bagi mengurus ekonomi, selain merancang lebih awal supaya tidak membebankan generasi akan datang.
Menurutnya, pengurusan fiskal yang berkesan turut bergantung pada tatakelola yang baik, termasuk kesediaan kerajaan melaksanakan pembaharuan dengan menyerahkan sebahagian kuasa kepada institusi lain untuk tujuan pemantauan dan semak imbang.
Katanya, pelaksanaan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) membolehkan kuasa kerajaan dipantau oleh Parlimen, manakala Akta Perkhidmatan Parlimen memperkukuh peranan Dewan Rakyat dan Dewan Negara dalam urusan pentadbiran masing-masing.
Anwar berkata, melalui Akta Perkhidmatan Parlimen, kuasa yang sebelum ini terletak pada Ketua Majlis, iaitu Perdana Menteri, diserahkan kepada Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Malah, katanya, pemantauan turut dilaksanakan oleh empat Ahli Parlimen yang terdiri daripada dua wakil kerajaan dan dua wakil pembangkang.
“Ini semua orang bicara sejak puluhan tahun yang lalu, tapi hanya Kerajaan Madani yang melaksanakan. Ini mematangkan proses demokrasi. Bahawa bukan seorang Perdana Menteri ataupun satu kerajaan punyai jawapan dan faham semua masalah,” katanya.
Beliau berkata, penyerahan kuasa itu mencerminkan keperluan kerajaan untuk mengiktiraf peranan pihak lain yang turut mempunyai mandat dalam sistem demokrasi.
“Kita harus tawaduk menyatakan bahawa sementara kita diberi amanah atay mandat untuk menjalankan tugas, ada yang harus kita agihkan kepada rakan-rakan lain yang juga punyai mandat terhad dan oleh itu diserahkan kuasa itu, ya,” katanya.


