Puad gesa semua parti politik bertanding secara solo pada PRN Melaka, nilai kekuatan sebenar

KUALA LUMPUR – Semua parti politik yang ada digesa bertanding bersendirian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka untuk melihat bagaimana tahap sokongan dan kekuatan sebenar setiap parti sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.

Gesaan itu disuarakan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Dr Mohd Puad Zarkhasi dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata langkah itu wajar dipertimbangkan memandangkan situasi politik semasa menyaksikan belum ada kata putus berhubung bentuk kerjasama yang bakal dimeterai.

Katanya, pelbagai kekangan untuk bertolak ansur dan mencapai kata persetujuan ketika ini menjadikan pertandingan secara berasingan sebagai pilihan yang baik bagi Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Wawasan Negara (Wawasan) serta Parti Bersama Malaysia (Bersama).

“Nampaknya belum ada kata putus siapa bekerjasama dengan siapa untuk PRN Melaka kerana kali ini banyak kekangan untuk bertolak ansur.

“Justeru, lebih baik semua gabungan atau parti bertanding secara solo.

“Lihat kekuatan masing-masing apabila bertanding sendiri, baru nampak siapa yang sebenarnya memerlukan siapa,” katanya menurut hantaran itu.

Mohd Puad berkata pertandingan secara berasingan bakal mendedahkan kedudukan sebenar sesebuah parti sama ada mereka benar-benar mempunyai pengaruh atau sekadar ‘parti nyamuk’.

Ujar beliau, ujian medan pada PRN Melaka kelak penting bagi menyedarkan setiap kepimpinan parti agar lebih bersikap rendah diri dan bersedia menetapkan rakan kongsi politik yang lebih rasional serta realistik untuk PRU16 kelak.

“Siapa kalau tanding sendiri baru tahu parti itu hanyalah parti nyamuk. Maka barulah di PRU16 nanti ada rasa rendah diri, sedia mendongak langit dalam menentukan rakan kongsi yang lebih realistik,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat