Kerajaan perketat syarat pelaburan pusat data pastikan keperluan elektrik tidak jejaskan industri lain

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang mengetatkan lagi syarat pelaburan bagi pusat data untuk memastikan keperluan elektrik industri itu tidak menjejaskan bekalan pengguna domestik serta sektor ekonomi lain.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata buat masa ini sebanyak 57 pusat data sudah beroperasi di negara ini dengan kapasiti penggunaan elektrik sebanyak 6,230 megawatt (MW).

Beliau berkata terdapat 60 pusat data lagi yang sudah diluluskan atau masih dalam pelbagai peringkat pembangunan di Malaysia dijangka beroperasi dan memerlukan kapasiti 11,172 MW lagi keperluan elektrik.

Kerajaan juga mahu kos menaik taraf infrastruktur berkaitan termasuk talian penghantaran elektrik dimasukkan dalam perbelanjaan pelabur yang membangunkan pusat data berkenaan.

“Apabila banyak pusat data datang, kemungkinan besar ia akan memberi masalah kepada talian penghantaran elektrik kita. Jika mereka memerlukan bekalan elektrik misalnya 1,000MW naik taraf perlu dibuat pada talian penghantaran.

“Pelaburan bagi naik taraf itu juga akan dimasukkan sebagai sebahagian daripada kos mereka yang datang untuk membina pusat data,” katanya dalam sesi jawapan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Johari menjawab soalan tambahan yang diberikan Rodziah Ismail (PH-Ampang) yang membangkitkan kebimbangan mengenai penggunaan sumber negara, termasuk tanah, elektrik dan air serta pulangan sebenar pelaburan pusat data kepada rakyat negara ini.

Johari berkata, kerajaan juga akan memisahkan keperluan bekalan elektrik pusat data daripada sistem bekalan sedia ada yang memenuhi keperluan isi rumah dan industri lain.

Katanya, permohonan berkaitan bekalan elektrik pusat data akan diteliti bersama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Suruhanjaya Tenaga (ST) serta dimaklumkan kepada Kementerian Kewangan bagi memastikan keperluan tambahan itu tidak mengganggu rizab bekalan elektrik negara.

“Selain bekalan elektrik, kerajaan negeri juga perlu berhati-hati ketika meluluskan bekalan air kepada pengendali pusat data kerana sumber itu berada di bawah bidang kuasa masing-masing.

“Teknologi kitar semula air yang sudah digunakan juga menjadi satu keperluan yang kita tetapkan. Kita tidak mahu kerajaan negeri terlalu teruja untuk menarik pusat data sehingga tidak mengambil kira jumlah bekalan air yang ada,” katanya.

Dalam pada itu, Johari berkata, kerajaan juga akan memastikan pelaburan pusat data memberi manfaat lebih besar kepada ekonomi tempatan.

Ia termasuk melalui perolehan barangan dan perkhidmatan daripada syarikat tempatan, pembangunan tenaga kerja mahir serta akses kepada kemudahan pengkomputeran untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“Kerajaan menetapkan sasaran minimum 30 peratus kandungan tempatan bagi pusat data baharu untuk meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan industri berkenaan.

“Antara aspek diberi perhatian penggunaan khidmat kejuruteraan, kontraktor, sistem penyejukan, sistem elektrik dan peralatan yang boleh dibekalkan syarikat tempatan.

“Kerajaan juga mahu jurutera, juruteknik dan pakar tempatan mendapat peluang membina kepakaran dalam industri pusat data yang semakin berkembang,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat