KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan mendedahkan kecekalan beliau bekerja setiap hari dan tidak pernah mengambil cuti sakit (MC) walau sehari sejak mula bekerja pada 1991.
Ahli Parlimen Pontian itu memberitahu, beliau tetap bangkit meskipun sakit.
“Kerja dengan gigih akan berhasil. Kerja mesti rajin, jangan main-main.
“Kerja mesti serius, berdedikasi, tekun, bersistem untuk dapatkan hasil yang sempurna. Saya pernah kerja 20 jam dalam sehari. Tanpa rehat, tanpa tidur, tanpa henti untuk selesaikan 15 aktiviti, program.
“Bagaimana boleh dilakukan? Perlu ada perancangan yang teliti, attention to detail, satu persatu. Saya selalu kerja 7 hari seminggu, tanpa cuti ketika orang lain berhujung minggu.
“Apa rahsia boleh dibuat? Kenalah bersemangat, bekerja itu adalah ibadah jika kena niat dan caranya. Saya tidak pernah ambil cuti sakit (MC) walau sehari sejak kerja tahun 1991. Terus bangkit walau sakit, terus berjuang untuk kejayaan, terus berikhtiar untuk kebahagiaan.
“Bukan mudah untuk berjaya jika malas untuk bekerja,” ujarnya.
Menurut Ahmad, perkongsian beliau ini untuk renungan mengenai kerja.
“Nota saya untuk menghadapi hidup.
“Semakin mencabar. Setiap hari.Namun, cekal gigih demi kejayaan dan demi rakyat,” katanya.



