KUALA LUMPUR – Kelewatan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1A bukan berpunca daripada satu pihak sahaja sebaliknya ia melibatkan pelbagai cabaran teknikal, pentadbiran dan kewangan.
Justeru adalah tidak adil jika Kerajaan Negeri Sabah dipersalahkan sepenuhnya.
Ketua Merinyu Projek Kerajaan Negeri Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, rakyat Sabah tidak memerlukan budaya saling menyalahkan. Mereka mahu melihat lebuh raya ini disiapkan.
“Apa yang diperlukan ialah kerjasama lebih erat, keputusan lebih pantas dan kelulusan yang lebih cekap.
“Keutamaan kita mesti jelas: kurangkan kelewatan, percepatkan pelaksanaan dan siapkan projek demi rakyat Sabah,” tegas beliau.
Salleh menyatakan, lebih 70 peratus projek ini melibatkan pelebaran jalan Persekutuan sedia ada daripada dua kepada empat lorong.
“Kerja ini bukan mudah kerana melibatkan pengambilan tanah, bangunan, kawasan penempatan penduduk serta pemindahan utiliti.
“Antara punca utama kelewatan ialah perubahan reka bentuk asal yang tidak sepenuhnya menepati keadaan sebenar di tapak. Proses ini memerlukan penelitian dan penyelarasan pelbagai perunding serta pakar teknikal yang dilantik oleh Kementerian Kerja Raya (KKR).
“Setiap perubahan reka bentuk boleh melibatkan pertambahan kos yang memerlukan penilaian teknikal dan kelulusan kewangan daripada KKR serta Kementerian Kewangan (MOF). Proses kelulusan yang panjang turut menjejaskan kelancaran projek.
“Bagi mengelakkan kelewatan berulang, KKR dan MOF perlu menyediakan mekanisme kelulusan yang lebih cepat dan jelas, khususnya bagi Arahan Perubahan Kerja (VO) dan pelarasan had kewangan. Mekanisme ini wajar dimasukkan dalam kontrak asal atau dimuktamadkan melalui Perjanjian Tambahan.
“Hakikatnya, projek ini melibatkan tanggungjawab bersama Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, perunding, kontraktor dan syarikat utiliti. Setiap pihak perlu dinilai berdasarkan bidang kuasa dan tanggungjawab masing-masing, bukan menjadikan satu pihak sebagai sasaran kesalahan,” jelas Salleh.


