KUALA LUMPUR – Pentadbiran Istana Selangor mengambil maklum dan menerima laporan-laporan polis berkaitan individu yang menyamar sebagai Pengawal Peribadi Sulit kepada Raja Muda Selangor sehingga memperdayakan orang awam bagi mempercayai urusan penjualan tanah dan kereta mewah untuk meraih keuntungan peribadi.
Istana Alam Shah dalam kenyataan pada Isnin menegaskan, pentadbiran Istana Selangor memandang serius terhadap isu ini dan menyerahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membuat siasatan menyeluruh dengan adil dan telus.
“Pihak pentadbiran istana juga tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terlibat dalam kes ini.
“Sehubungan itu, pihak Istana Selangor memohon kerjasama orang awam supaya membuat semakan dengan pihak pentadbiran istana berkaitan apa-apa dakwaan yang mengaitkan kedudukan individu terlibat dengan nama istana dalam membuat sebarang urusan,” katanya.



