CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memulakan siasatan aduan berhubung kandungan yang dimuat naik melalui platform media sosial Threads dan disyaki mengandungi unsur penghinaan ke atas institusi diraja Negeri Sembilan.
Dalam satu kenyataan hari ini, MCMC memaklumkan kandungan berkenaan menyentuh isu berkaitan kedudukan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir.
“Sebagai sebahagian daripada proses siasatan, MCMC telah merakam percakapan seorang individu di Balai Polis Labu, Negeri Sembilan untuk mendapatkan maklumat dan mengenal pasti fakta berkaitan.
“Turut disita bagi membantu siasatan ialah satu unit telefon bimbit berserta eSIM untuk tujuan analisis forensik.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588],” menurut kenyataan itu.
Pihak MCMC turut meneliti aspek penyebaran kandungan tersebut melalui platform media sosial dan akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan berkaitan sekiranya terdapat unsur kesalahan lain yang memerlukan tindakan di bawah undang-undang yang berkuat kuasa, katanya.
“MCMC menegaskan bahawa kebebasan bersuara hendaklah dilaksanakan secara bertanggungjawab, berlandaskan undang-undang serta menghormati institusi diraja.
“Sebarang tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan berdasarkan fakta, bukti dan proses perundangan yang sewajarnya,” menurut kenyataan itu.



