KUALA LUMPUR – Pemuda Pas Selangor mendesak pihak pentadbiran Universiti Teknologi Mara (UiTM) agar mengambil tindakan tegas, menyemak semula garis panduan kelulusan program pelajar, dan mencegah penganjuran acara berunsur hiburan melampau ini daripada berulang lagi.
Timbalan Ketua Pemuda Pas Selangor Aubidullah Fahim Ibrahim berkata, pihak universiti wajib kembali kepada fungsi hakikinya, iaitu menyuburkan ‘budaya ilmu’, memperbanyak wacana akademik, serta mengasah ketajaman intelektual anak-anak muda yang bakal mewarisi tampuk kepimpinan negara kelak.
“Kepada seluruh pemegang taruh pendidikan negara, jika kelalaian hiburan terus diangkat dan menjadi tumpuan di dalam dewan-dewan universiti kita, apakah kita sudah bersedia untuk melihat masa depan negara ini bergelap dan runtuh akibat daripada tangan kita sendiri?
“Masa depan Malaysia bergantung teguh kepada kualiti akal budi mahasiswa yang kita lahirkan pada hari ini,” tegas beliau.
Menurut Aubidullah Pemuda Pas Selangor meneliti dengan penuh kebimbangan dan memandang serius berhubung penganjuran acara Malam Seribu Bintang di Kolej Melati, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam baru-baru ini.
Ujarnya, penganjuran majlis yang berteraskan hiburan berlebihan di dalam menara gading adalah satu perkembangan yang amat mendukacitakan dan mencalarkan imej universiti sebagai pusat kecemerlangan akademik Bumiputera.
“Pada saat anak muda kita pada hari ini sedang bergelut dengan pelbagai ancaman krisis identiti dan kerosakan gejala sosial yang semakin membarah di luar sana, institusi pengajian tinggi sepatutnya memainkan peranan untuk memandu dan menyelamatkan mereka. Sebaliknya, acara sebegini seolah-olah menghalalkan dan memupuk nilai hedonistik ke dalam jiwa mahasiswa.
“Anak-anak muda yang sedang mencari haluan hidup perlukan bimbingan intelektual dan rohani, bukan disajikan dengan hiburan yang melekakan jiwa dan minda.
“Suka untuk ditegaskan di sini bahawa pendirian Pas sejak dahulu adalah jelas, kita sama sekali tidak menolak hiburan kerana ia sebahagian daripada fitrah manusia. Namun, selain daripada budaya terjerit-jerit bersorak seperti yang dipapar di media sosial di dalam program berkenaan, kemudian penganjur membawa masuk pula kumpulan artis M-Pop seperti ‘XO Jr.’ ke dalam program ini, ia bukanlah satu perkara yang membawa nilai yang baik.
“Kumpulan ini secara terangnya membawa imej, nilai, dan acuan budaya K-Pop untuk disuapkan kepada mahasiswa tempatan kita.
“Kita perlu membuka mata dan melihat realiti sebenar industri K-Pop yang cuba diadaptasi kumpulan ini. Ia adalah sebuah industri yang sarat dengan pelbagai krisis negatif bermula daripada masalah kesihatan mental yang kritikal, tekanan melampau, kemurungan, hingga membawa kepada keruntuhan akhlak masyarakat akibat budaya pemujaan (idolisation) yang bertuhankan hiburan semata-mata.
“Apakah acuan masyarakat rapuh sebegini yang mahu kita bina dan terapkan ke dalam jiwa generasi pewaris negara? soal beliau.



