KUALA LUMPUR – Polis Terengganu mengesahkan kes seorang wanita warga emas kerugian RM87,975.04 selepas diperdaya sindiket skim pelaburan tidak wujud yang ditawarkan dalam talian pada 3 Oktober lepas.
Ketua Polis Daerah Terengganu ACP Azli Mohd Noor dalam satu kenyataan hari ini berkata mangsa berusia 63 tahun pada mulanya melihat iklan berkaitan pelaburan itu melalui media sosial Facebook.
Beliau memaklumkan mangsa yang tidak bekerja tertarik dengan skim itu bertindak menghubungi suspek lelaku melalui aplikasi Whatsapp untuk mendapatkan lebih maklumat.
“Suspek memujuk mangsa agar menyertai skim itu dengan dijanjikan pulangan lumayan, iaitu sebanyak RM25,000 bagi setiap RM450 yang dilaburkan.
“Mangsa yang gelap mata telah membuat sembilan kali bayaran berjumlah RM87,975.04 menggunakan wang simpanan dan hasil gadaian barang kemas dari 3 hingga 12 Oktober,” katanya.
Azli berkata mangsa syak dia ditipu selepas gagal mendapatkan kembali wang modal dan sebarang pulangan hasil keuntungan dan usaha menghubungi suspek juga gagal.
“Mangsa yang berasal dari Wakaf Tembusu, Kuala Nerus, kemudiannya membuat laporan polis pada 7.58 malam semalam,” katanya.



