Bajet 2027: Peluang kontraktor bumiputera diperluas, RM350 juta untuk jalan Sabah, Sarawak – Alexander Nanta Linggi

KUALA LUMPUR – Peruntukan keseluruhan Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam Belanjawan 2027 meningkat sebanyak 1.78 peratus, namun kerajaan terus memperluas peluang kontraktor Bumiputera serta memperkukuh penyelenggaraan infrastruktur jalan raya menerusi beberapa inisiatif baharu.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, nilai perolehan bagi kontraktor Bumiputera kategori G1 hingga G4 meningkat kepada RM7.5 bilion berbanding RM4 bilion pada 2026, iaitu kenaikan sebanyak 87.5 peratus.

“Jadi, walaupun peningkatan itu setakat itu sahaja, tetapi apabila kita semak secara detail, ini baik sebab kita akan ada Belanjawan Tahun 2027 nanti mengukuhkan peluang kontraktor Bumiputera yang kategori G1 hingga G4, yang melalui peningkatan nilai perolehan khusus kepada, daripada RM7.5 bilion berbanding dengan RM4 bilion pada tahun 2026.

“Jadi, ini peningkatan sebanyak 87.5 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas peruntukan KKR selepas pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen hari ini.

Dalam usaha memperkukuh infrastruktur jalan raya, kerajaan turut menyediakan hampir RM800 juta bagi kerja penyelenggaraan jalan Persekutuan, termasuk RM350 juta untuk Sabah dan Sarawak.

Nanta berkata, peruntukan itu membolehkan kerja penyelenggaraan diteruskan bagi meningkatkan keadaan jalan raya serta memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna.

Selain itu, peruntukan bagi pelaksanaan kerja-kerja kecil melalui pejabat jurutera daerah dinaikkan kepada RM40 juta pada 2027 berbanding RM30 juta tahun ini.

Menurutnya, peningkatan itu membolehkan jurutera daerah bertindak lebih pantas dalam menyelesaikan masalah infrastruktur berskala kecil tanpa perlu menunggu proses permohonan peruntukan yang panjang.

“Ini sangat-sangat baik kerana tujuan ini adalah untuk kita memperkasakan kecekapan dan keberkesanan JD kita, jurutera daerah kita, untuk menangani masalah di peringkat daerah.

“Ini sudah tentulah sangat-sangat berguna untuk kita menangani masalah dengan segera yang perlu kita baiki ataupun kita segerakan di peringkat daerah,” katanya.

Kerajaan juga jelasnya menambah kemudahan tempat berteduh untuk penunggang motosikal di lebuh raya bagi menyediakan lokasi yang lebih selamat ketika hujan.

Beliau berkata Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) turut menerima peruntukan bagi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di Lebuhraya PLUS untuk mempertingkat pemantauan trafik dan pengurusan insiden.

Selain itu sebanyak 50 kemudahan pengecasan kenderaan elektrik (EV) juga akan disediakan di lokasi strategik bagi menyokong perkembangan mobiliti elektrik negara.

Sementara itu, beliau berkata usaha meningkatkan kemahiran tenaga kerja turut diberi perhatian apabila Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) merancang menyediakan latihan teknologi robotik dan digital kepada 10,000 belia.

Inisiatif itu jelasnya bertujuan melengkapkan golongan muda dengan kemahiran teknologi yang bersesuaian dengan keperluan industri pembinaan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat