CYBERJAYA – Meta mengakui kesilapan teknikal pada sistemnya menyebabkan aktiviti pengguna WhatsApp yang sah disalah anggap sebagai pelanggaran peraturan sehingga mengakibatkan penggantungan akaun mereka.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kesilapan itu dikenal pasti dalam lebih separuh daripada kes bagi kumpulan pertama yang dikemukakannya kepada Meta.
Menurut MCMC, pihaknya menerima maklum balas daripada syarikat berkenaan hari ini susulan isu penggantungan akaun WhatsApp yang dibangkitkan sebelum ini.
“Menurut Meta, kesilapan teknikal tersebut telah ditangani pada penghujung September dan akaun sah yang terjejas telah dipulihkan secara proaktif, termasuk sebahagian akaun yang belum mengemukakan rayuan.
“Meta turut mengesahkan bahawa tiada perubahan dibuat terhadap dasar penguatkuasaan atau Terma Perkhidmatan WhatsApp,” menurut kenyataan itu.
Bagi kes lain, Meta menjelaskan penggantungan turut melibatkan beberapa faktor, termasuk penggunaan nombor telefon kitar semula yang pernah dikaitkan dengan akaun yang disekat, aktiviti spam atau penipuan serta corak penggunaan yang dikesan sistem keselamatan WhatsApp.
Menurut MCMC, laporan pengguna merupakan salah satu faktor yang dinilai dan bukan satu-satunya asas bagi tindakan penggantungan akaun.
Berhubung akaun perniagaan, Meta memaklumkan penghantaran mesej tanpa persetujuan atau dalam jumlah yang tinggi, khususnya kepada penerima yang bukan dalam senarai kenalan, boleh dikesan sebagai aktiviti spam.
Sehubungan itu, pengguna perniagaan disaran mendapatkan persetujuan penerima sebelum menghantar mesej secara pukal.
MCMC turut meminta Meta menambah baik proses rayuan dan pemulihan akaun supaya pengguna terjejas menerima pengesahan, maklumat status semakan serta tindakan yang lebih jelas dan pantas.
Pengguna yang masih berdepan masalah disaran menggunakan saluran rayuan dan sokongan rasmi WhatsApp.
“MCMC akan terus memantau penyelesaian kes yang masih tertunggak dan memastikan penambahbaikan dilaksanakan bagi memudahkan pengguna mendapatkan semula akaun mereka.
“Tindakan kawal selia selanjutnya akan dipertimbangkan sekiranya langkah Meta didapati tidak memadai,” menurut kenyataan itu.



