KUALA LUMPUR – Kerajaan memperuntukkan RM1.16 bilion bagi penyediaan dan penyelenggaraan perumahan awam menerusi Belanjawan 2027, termasuk usaha membaik pulih kemudahan di Projek Perumahan Rakyat (PPR).
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM157 juta disediakan khusus untuk PPR tahun depan bagi membolehkan kerja pembaikan dan penyelenggaraan dilaksanakan dengan lebih menyeluruh.
Menurutnya, peruntukan berkenaan akan membantu meningkatkan keselesaan penduduk, termasuk melalui penggantian lif, pengecatan semula bangunan serta pembaikan bumbung yang mengalami kebocoran.
“Bagi Kementerian KPKT, kita berasa amat bersyukur sekali, di mana jelas Yang Amat Berhormat PMX, Menteri Kewangan, mendengar rintihan hati, suara hati rakyat, khususnya dalam sektor perumahan awam.
“Di mana jumlah RM1.16 bilion telah diperuntukkan untuk penyediaan dan penyelenggaraan rumah-rumah awam, khasnya PPR, tahun depan akan menerima RM157 juta.
“Maka nampaknya saya akan mampu menukar lebih banyak lagi lif-lif baharu, cat-cat bangunan baharu, bumbung yang bocor, itu semua kita dapat baiki dengan peruntukan yang penuh bererti ini,” katanya mengulas Belanjawan 2027 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Nga berkata kerajaan turut memperkukuh usaha membantu golongan muda memiliki kediaman pertama menerusi tambahan RM20 bilion bagi Skim Jaminan Kredit Perumahan.
Katanya, skim berkenaan yang sebelum ini membantu lebih 100,000 pembeli rumah pertama dijangka dapat memanfaatkan 80,000 lagi individu pada tahun depan melalui tambahan dana jaminan tersebut.
Menurutnya, jaminan pembiayaan itu turut merangkumi sehingga 120 peratus bagi membantu pembeli menampung kos berkaitan, termasuk pengubahsuaian rumah dan pembelian kelengkapan.
“Pada masa yang sama, untuk pastikan semua pemuda-pemudi, mahasiswa lepasan sekolah dapat pinjaman dari bank, Skim Jaminan Kredit Perumahan sekali lagi ditambah RM20 bilion.
“Setakat pagi ini, skim ini telah berjaya membantu lebih 100,000 pembeli rumah pertama.
“Dan tahun depan, dengan RM20 bilion tambahan dana jaminan yang diberikan oleh kerajaan, kita mampu untuk membantu 80,000 orang lagi untuk membeli rumah pertama dengan duti setem percuma dan juga pinjaman yang dijamin oleh kerajaan,” katanya.
Beliau turut mengumumkan bahawa pembeli rumah pertama bernilai RM500,000 dan ke bawah akan menikmati pengecualian penuh duti setem mulai 1 Januari, manakala pembelian rumah bernilai RM750,000 dan ke bawah layak menerima pengurangan duti setem sebanyak 50 peratus.
Selain sektor perumahan, Nga berkata peruntukan bagi penyelenggaraan rumah ibadat bukan Islam turut dinaikkan kepada RM80 juta, manakala pembangunan Kampung Baru Cina menerima peningkatan peruntukan kepada RM100 juta.
Beliau turut menyentuh bantuan kerajaan kepada rakyat menerusi peningkatan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada RM16 bilion serta subsidi berjumlah RM80 bilion.
Menurutnya, Belanjawan 2027 turut memberi manfaat kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui penurunan kadar cukai daripada 16 peratus kepada 15 peratus, selain menyediakan potongan cukai kepada golongan M40.
Nga berkata keseluruhan langkah itu mencerminkan usaha kerajaan memperkukuh kesejahteraan rakyat, khususnya dalam aspek pemilikan rumah, kemudahan perumahan awam dan sokongan ekonomi.
“Secara kesimpulan, jelas ini adalah satu belanjawan yang berjiwa rakyat, bervisi jauh serta mampu untuk terus mengangkat ekonomi negara kita dengan dua tujuan, mengangkat martabat negara dan mensejahterakan rakyat,” katanya.



