KUALA LUMPUR – Ada seorang lagi bekas Ketua Menteri Sabah menyokong supaya penyanyi gospel dari Amerika Syarikat (AS) Israel Houghton dibenarkan membuat persembahan di negeri di bawah bayu itu.
Presiden parti Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal membuat kenyataan yang sama dengan seorang lagi bekas ketua menteri Datuk Seri Salleh Said Keruak dalam menyokong konsert itu dengan menyatakan penganut Kristian di Sabah sepatutnya bebas menghadiri acara itu tetapi perlu mematuhi syarat yang ditetapkan.
“Sebarang kebimbangan sebenar berkaitan keselamatan hendaklah ditangani dengan pihak polis mengambil langkah sewajarnya bagi mengekalkan keamanan dan melindungi mereka yang hadir,” kata beliau dalam satu kenyataan media hari ini.
Houghton bersama kumpulannya yang bernama Israel & New Breed dijadualkan mengadakan persembagan di Sabah pada akhir bulan ini.
Pendirian penyanyi itu yang ada kaitan dengan konflik Israel-Palestin mencetuskan gesaan supaya konsert berkenaan ditangguh.
Sebelum ini, Pesuruhjaya Polis Sabah Komisioner Datuk Jauteh Dikun mencadangkan konsert itu ditangguhkan atas kebimbangan berkaitan nama kumpulan berkenaan dan sokongan Houghton terhadap Israel.
Shafie berkata jika ada bantahan semata-mata ia tidak sepatutnya menjadi penentu untuk membatalkan acara keagamaan.
“Orang ramai berhak untuk tidak bersetuju dan menyatakan bantahan secara aman. Mereka yang mahu hadir juga berhak mendapat layanan yang adil dan dihormati,” katanya.
Dia berkata Sabah mempunyai tradisi kehidupan bersama antara masyarakat pelbagai agama yang perlu dipertahankan.
“Orang Islam, Kristian, Buddha dan penganut agama lain telah berkongsi tanah ini selama beberapa generasi. Menghormati kepercayaan satu sama lain termasuk kebebasan untuk berkumpul, berdoa, menyanyi dan menganjurkan program keagamaan dalam lingkungan undang-undang.
“Kita mesti mempertahankan tradisi itu. Keharmonian agama kita bergantung kepada memastikan setiap komuniti berasa dihormati dan selamat dalam mengamalkan kepercayaan masing-masing,” katanya.
Shafie turut menggesa semua pihak supaya mengawal diri dan saling menghormati antara satu sama lain.



